Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Saddam Hussein
Mesra.net Forum > Current Issues > Tempatan
Didiharaiss
Just to share with U all, tapi panjang, bacala kalau terlebih masa..

Hinanya Saddam Hussein di mata dunia!
Oleh Johan Jaaffar


PRESIDEN paling digeruni di dunia Arab akhirnya ditemui di dalam lubang! Lubang itu letaknya berhampiran sebuah rumah di pinggir Sungai Tigris dekat Tikrit, kota kelahirannya. Tidak ada bentuk penghinaan yang lebih dahsyat bagi mana-mana pemimpin apabila dia tinggal sendirian menghadapi nasibnya setelah dia jatuh.

Itu takdir semuanya, kita boleh menghujahkan begitu. Tetapi Saddam Hussein bukan sebarangan orang. Beliau dianggap diktator paling ditakuti, dibenci dan dimomokkan dalam sejarah bangsa Arab. Sejak mengisytiharkan dirinya Presiden pada Jun 1979, Saddam Hussein telah memerintah secara kuku besi sehingga Iraq ditakluk oleh tentera Amerika Syarikat (AS) awal tahun ini.

Sepanjang pemerintahannya beliau telah menyeret rakyatnya berperang dengan Iran selama 10 tahun sehingga tahun 1988. Beliau telah menghadapi serangan tentera sekutu di bawah AS pada tahun 1991 dan tahun ini diserang sekali lagi oleh AS. Beliau diingat kerana kekejaman, kedegilan serta juga kebolehannya untuk bertahan.

Saddam pernah menggunakan senjata kimia untuk menghapuskan rakyatnya sendiri di Halabja pada bulan Mac 1988. Itu buktinya Saddam akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kedudukannya tidak terjejas, termasuk membunuh menantu atau mencederakan anaknya sendiri. Malah teman karib yang memungkinkan Parti Bath dapat dikuasai pada tahun 1968 Hassan Al-Bakr dipenjarakannya apabila Saddam merampas kuasa pada tahun 1979. Sepanjang kerjayanya, Saddam akan menghapuskan sesiapa dan kumpulan manapun - kaum Kurdis, penganut fahaman Syiah malah Sunni demi survivalnya.

Kita juga tahu bagaimana Baghdad yang pernah menjadi kota gemilang tradisi keilmuan dalam zaman Abbasiah, menjadi kota tanpa hati dan jiwa. Saddam memastikan pemikir, ulama dan ilmuan Islam tidak mencabar dan mempersoalkannya. Tradisi gemilang Islam yang berbaki berkubur pada zaman Saddam.

Saddam hidup dalam kemewahan sedangkan rakyatnya menderita sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara itu. Bekalan makanan kurang, begitu juga keperluan harian dan ubat-ubatan. Anehnya Iraq ialah negara yang mempunyai sumber minyak yang kedua terbesar di dunia.

Pada tahun 1988, beberapa bulan selepas gencatan senjata yang dikuatkuasakan oleh Kumpulan Pengawas Ketenteraan Iran-Iraq (UNIIMOG), saya telah diundang ke Baghdad bersama-sama lebih 300 orang wartawan dan sarjana dari seluruh dunia. Ketika itu saya menjadi Ketua Pengarang majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kita harus ingat dalam peperangan itu ratusan ribu anggota tentera kedua-dua belah pihak telah terkorban. Nyawa manusia tidak ada harganya.

Saddam seperti biasa mengisytiharkan beliau orang yang menang dalam perang itu. Rupa-rupanya dalam diam-diam, beliau telah membina semula runtuhan kota Babylon yang tersohor itu. Babylon mempunyai apa yang dikenal sebagai salah satu Keajaiban Dunia Kuno - Taman Gantung. Jurutera kota itu menggunakan Sungai Euphrates untuk mengepam air setinggi "lima tingkat" binaan bagi menyuburkan tumbuh-tumbuhan di setiap tingkatnya.

Taman Gantung Babylon dibina oleh Raja Nebuchadnezzar II (yang memerintah di sekitar 605-562 SM) untuk isteri jelitanya Ratu Armytis. Beliau dianggap raja yang teragung dalam sejarah Babylon kuno. Ratu Armytis sebenarnya rindu kampung halamannya yang hijau dan permai di Media, Iran. Raja Nebuchadnezzar II lalu membinakan taman itu sebagai bukti cintanya.

Selama beberapa hari itu, kami mengikuti pelbagai acara untuk mengisytiharkan kemenangan Saddam dalam perangnya dengan Iraq. Lebih penting lagi, kami melihat bagaimana Babylon "dibangunkan semula" di kawasan seluas 21 kilometer persegi yang meliputi kampung-kampung kuno seperti Kuwarish, Singar, Jumjomah dan Ananah. Sewaktu kami sampai, fasa pertama pembangunan semula itu sudah berakhir. Ia mengandungi sebuah istana, sebuah ampitheatre dan sebuah taman yang luas. Tinggalan asal kota Babylon - Kuil Ninimakh dan Ishtar - juga sudah dibina semula.

Apa yang penting ialah kami dipertontonkan dengan pertunjukan laser dan slide yang membandingkan Saddam dengan Raja Nebuchadnezzar II. Kedua-duanya digambarkan sebagai pemerintah teragung Iraq - yang seorang pada zaman silam, seorang lagi sewaktu Iraq moden. Kita semua tahu persamaan yang lain - bahawa kedua-duanya merupakan pemerintah zalim dan kejam yang akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

Kami juga dibawa ke bandar kelahirannya Tikrit, tempat yang beliau ditemui setelah menyembunyikan diri selama beberapa bulan ini. Tikrit ialah bandar kecil di tengah padang pasir. Tetapi di situ terdapat hotel lima bintang. Sesiapapun yang menjadi tetamu kerajaan Iraq akan dibawa ke sana bagi mengingatkan mereka bahawa bandar kecil itu tempat lahir anak kebanggaan Iraq. Kami diriwayatkan kisah hidup Saddam Hussein dan keluarganya, juga bagaimana digalurkan keturunannya pada Nabi Muhammad S.A.W.

Salah seorang wartawan bersama-sama kami menanyakan kesahihan sejarah yang mengaitkan Saddam dengan Rasulullah. Wartawan dari Indonesia itu dipanggil ke sisi dan beri "kuliah" selama sejam mengenai berbahaya dan bodohnya soalan itu.

Kita tahu hari ini bahawa Saddam ialah ciptaan kuasa Barat khususnya AS. Kita tahu AS memerlukan beliau untuk mencabar negara baru yang diberikan label "Republik Islam Iran" apabila Ayatollah Khomenei menjatuhkan rejim Shah Iran. Rasa malu AS kerana kebangkitan sebuah kuasa Islam di Asia Barat menyebabkan Saddam diterima sebagai "sekutu." AS membuat kesilapan yang sama menaungi "diktator" seperti Habib Bourgiba, Zia ul-Haq, Anwar Sadat. Ferdinand Marcos malah Suharto.

Untuk sekian lama, Saddam berasa selesa dengan perlindungan AS. Malah bukan rahsia lagi bahawa sebelum beliau mengerahkan bala tenteranya untuk menakluk Kuwait pada tahun 1990, beliau mengandaikan ada restu dari AS. Tetapi AS mempunyai idea yang lain. Agaknya mengkhuatirkan apa kata beberapa sekutu lain yang berpengaruh di rantau itu, AS menentang tindakan Saddam.

Saddam kekal di tempatnya selepas perang itu. Sebaliknya Presiden Bush (bapa Presiden AS hari ini) tercempak keluar. Ternyata bahawa dasar AS di Iraq tidak menawan pengundi, sebaliknya soal ekonomi menyebabkan pengundi AS menolak keluar parti Republikan dari Rumah Putih. Bagi menunjukkan siapa yang berkuasa, Saddam melancarkan serangan terhadap kaum Kurdis di utara dan puak Syiah di selatan. Dia mengekalkan kuasanya lebih 10 tahun.

Kita juga tahu bahawa Saddam tidaklah sekuat yang disangka. Iraq jatuh dalam masa tiga minggu. Saddam dan penyokong kuatnya hilang atau ditawan. Dua orang anak lelakinya terbunuh. Dan kini Saddam, yang disangka dibawa keluar Iraq oleh Rusia, ditemui di dalam lubang dalam keadaan yang cukup mengaibkan.

Kita harus sedar bahawa diktator sekuat mana pada akhirnya akan menemui nasib malang. Tiada siapa yang kekal berkuasa selama-lamanya. Orang paling ditakuti akan menjadi tikus yang penakut. Imej Saddam yang berjambang dan kemudian dicukur jambangnya oleh tentera AS seharusnya memalukan umat Islam seluruhnya.

Umat Islam boleh marah dengan perlakuan tentera AS itu. Tetapi ingat, orang menang mempunyai hak melakukan apa sahaja. "Sejarah rasmi" ditulis oleh orang yang menang dan bukan yang kalah. Saddam boleh menyamakan dirinya dengan raja teragung Sumaria Kuno - Raja Nebuchadnezzar II - tetapi hakikatnya, hari ini dia akan diingat sebagai orang yang dihina.

Bagi saya ini pengajaran terbaik bagi orang Islam. Kezaliman tidak kekal. Kelemahan akan terbongkar. Cakap yang berdegar-degar tidak akan dapat melawan stealth technology, robotik, teknologi sasaran tepat dan bala tentera yang besar. Tidak ada negara Islam yang benar-benar kuat dan kaya hari ini. Tidak banyak negara Islam yang mempunyai kemampuan ekonomi untuk menandingi AS dan banyak negara Eropah yang lain.

Moral ceritanya ialah orang Islam harus bangkit untuk menjadi maju dan berjaya supaya apa yang berlaku pada Saddam Hussein tidak berulang pada yang lain.

- Penulis pernah menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu (M) Berhad.
clover
itulah dia nasibbb.... sesiapa pun xkan tau selama mane nasib kita sentiasa baik... mungkin hari ni kita di atas dan mungkin hari esok kita di bawah..... oleh tu beringat la kita.. segala nya itu telah ditentukan oleh yang maha esa
haslinda
entahlah...
tapi rasa sedih ngan kesian sangat tgk muka dia lps kena tangkap...dah nampak tua sangat...
kesian....
rosa654
what to do...suratan takdir...
arenie
salam

..he deserve it

..itu baru kat dunia
Tengku_Raq
jadikan ianya sebagai teladan sebab pengkhianat macam PAS ni boleh lakukan perkara yang sama kepada tanahair asalakan matlamat mereka tercapai...!
darkonez
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.