Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Kematian Rafik Hariri..
Mesra.net Forum > Current Issues > Tempatan
Ewan_sn
Kematian Hariri kerugian besar bagi dunia Arab


KUALA LUMPUR, 15/2/2005: Malaysia melahirkan rasa terkejut dan simpatinya berikutan kematian bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri dalam satu serangan bom kereta dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas itu.



Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menyifatkan kematian Hariri itu sebagai satu kehilangan besar bukan saja kepada Lubnan tetapi jdunia Arab.

“Sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri, Lubnan sudah menikmati kemajuan dan kemakmuran yang luar biasa,” katanya dalam perutusan takziah kepada rakan sejawatnya dari Lubnan, Omar Abdel Hamid Karame.

Menurut laporan, Hariri terbunuh dalam satu letupan kuat daripada sebuah kereta di ibu negara Lubnan tengah hari semalam. Selain bekas pemimpin itu, sembilan orang lagi turut terkorban.

Dalam perutusan itu, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), melahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Lubnan bagi pihak kerajaan serta rakyat Malaysia.

“Saya juga mengucapkan takziah dan berdoa agar keluarga Rafik Hariri dapat bersabar di saat-saat yang sedih ini,” katanya.

Hariri melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Lubnan, Oktober tahun lalu selepas memimpin negara itu keluar daripada perang saudara yang berlarutan di negara berkenaan sepanjang tempoh antara 1975 dan 1990.

Sebelum ini, beliau pernah melawat Malaysia beberapa kali.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan kematian Hariri sebagai kehilangan yang amat dirasai bukan saja oleh rakyat Lubnan tetapi kerajaan dan rakyat Malaysia kerana beliau adalah sahabat akrab negara ini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, Malaysia berharap kematian Hariri tidak akan menyebabkan negara itu sekali lagi terjerumus ke kancah perang saudara yang menyaksikan kehilangan nyawa dan harta benda yang begitu dahsyat sebelum ini.

“Kita tetap mengenang jasa beliau sebagai seorang yang berjaya dalam proses pemulihan Beirut dan membawa kepada kestabilan Lubnan. Saya berharap kematian beliau tidak akan membuka satu fasa baru konflik dalaman di Lubnan.

“Justeru, kita berharap semua pihak bersikap waras dan rasional. Cara menghargai jasa Hariri ialah meneruskan apa yang dilakukan beliau iaitu memupuk perpaduan dan meneruskan pembangunan Beirut dan Lubnan,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani buku ucapan takziah di Kedutaan Lubnan di sini, semalam.

Ketibaan Najib disambut Duta Besar Lubnan ke sini, Khaled Al Kilani, dan Setiausaha Pertama Konsulnya, Giscard El Khoury.

Turut berkunjung menandatangani buku takziah itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Suasana muram di bangunan kedutaan Lubnan itu bertukar hiba apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hampir menitiskan air mata ketika ditemui pemberita selepas menandatangani buku takziah itu.

“Kawan... dia kawan saya...,” kata Dr Mahathir dengan suara tersekat-sekat dan sebak sambil sedaya upaya menahan daripada menangis dengan mengetapkan bibirnya seolah-olah mengharapkan wartawan tidak terus mengajukan soalan.

Ditanya apakah kematian Hariri adalah satu kehilangan besar, beliau yang kelihatan semakin sebak berkata: “Ya... bagi diri saya”.

Dr Mahathir yang sememangnya amat akrab dengan Hariri berharap kejadian ganas di Lubnan tidak akan berlanjutan dan negara itu kembali aman
Ewan_sn
Rafik ketepi protokol demi sahabat'


KUALA LUMPUR 15 Feb. - ``Rafik al-Hariri (Allahyarham) sendiri yang akan menjemput dan memandu kereta dari lapangan terbang ke rumahnya apabila saya tiba di Lebanon. Saya pula, pernah memandu untuknya ketika beliau (Rafik) melawat Langkawi sebelum ini.''

Itu adalah luahan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menggambarkan hubungan rapatnya dengan bekas Perdana Menteri Lebanon itu yang terbunuh dalam satu letupan bom kuat di tengah Beirut semalam.

Dr. Mahathir berkata, setiap kali beliau dijemput ke Lebanon sama ada semasa menjadi Perdana Menteri atau selepas bersara, Rafik akan menjemput beliau dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali tinggal di kediamannya iaitu Koraitem yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang.

Dr. Mahathir menyifatkan Rafik seorang pembesar negara yang sanggup mengetepikan protokol demi sahabat.

Katanya, pembunuhan Rafik merupakan tragedi dan kehilangan besar kepada Lebanon serta dunia Arab kerana Allahyarham adalah pemimpin yang berwawasan tinggi.

``Beliau kawan baik saya. Beliau berjaya membangunkan semula Beirut menjadi bandar raya yang cantik dan menarik dengan mengekalkan bangunan lama,'' katanya.

Atas sifat Rafik mudah mesra dan memiliki wawasan yang tinggi untuk membangunkan negara, Dr. Mahathir hairan mengapa bekas Perdana Menteri Lebanon itu dibunuh.

``Siapa pihak yang bertanggungjawab? Saya fikir ada usaha untuk membunuh beliau,'' katanya ketika bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Petronas di sini hari ini.

Beliau mengulas tragedi pembunuhan Rafik di Beirut, semalam.

Rafik pernah melawat negara ini beberapa kali termasuk atas jemputan Dr. Mahathir ketika menerajui kerajaan.

Mengimbas kembali detik perkenalannya dengan Rafik ketika bekas Perdana Menteri itu pertama kali melawat Malaysia pada tahun 1995, Dr. Mahathir mendapati, beliau memiliki sifat mudah mesra selain bercita-cita tinggi membangunkan semula Lebanon.
Ewan_sn
Siapa pembunuh sebenar Rafik?



GAMBAR bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri (tengah) dirakamkan ketika menghadiri mesyuarat Parlimen Lebanon iaitu beberapa minit sebelum beliau terbunuh dalam satu letupan bom di Beirut, kelmarin. - Gambar AP.

BEIRUT 15 Feb. - Lebanon berkabung hari ini sekali gus menimbul tanda tanya di kalangan rakyatnya siapakah pembunuh sebenar bekas Perdana Menteri, Rafik Hariri.

Kematiannya dalam satu letupan bom turut menimbulkan kebimbangan sengketa etnik akan meletus semula 15 tahun selepas perang saudara berakhir.

Pembangkang Lebanon yang anti-Syria segera menyalahkan kerajaan di Beirut dan di Damsyik sebagai bertanggungjawab terhadap pembunuhan Rafik yang terkorban bersama sembilan orang lain apabila letupan kuat memusnahkan konvoi kenderaan mereka.

Kira-kira 100 orang lain cedera dalam letupan tersebut yang memusnahkan sebuah kawasan tepi pantai di Beirut.

Laporan media menyatakan letupan itu berpunca daripada bom kereta dan sebuah pertubuhan berhaluan Islam yang tidak dikenali sebelum ini mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan.

Dalam rakaman video yang disiarkan oleh televisyen Al-Jazeera, kumpulan yang menggelar dirinya sebagai `Kemenangan dan Jihad di Syria' menyatakan serangan pengebom berani mati itu untuk membalas dendam terhadap hubungan erat Rafik dengan kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun saudara tiri Raja Fahd dari Arab Saudi, Putera Talal bin Abdul Aziz mencurigai kesahihan kenyataan tersebut dan beliau meminta siasatan bebas dijalankan mengenai serangan itu.

Rafik, 60, meninggal dunia empat bulan selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan perbalahan mengenai pengaruh Syria di Lebanon.

Serangan itu menimbulkan suasana pilu di Lebanon dan kebimbangan mengenai kestabilan negara itu yang perlu melangkah berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan di antara masyarakat-masyarakat Sunnah, Syiah dan Kristiannya.

Keganasan itu berlaku hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya Parlimen dijadual berlangsung.

Tentera Lebanon mengumumkan kerahan menyeluruh askarnya untuk menjaga kestabilan negara dan memanggil balik askar yang sedang bercuti serta menempatkan askar di Beirut dan kawasan lain.

Walaupun kerajaan mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari, keluarga Rafik menyatakan mereka tidak mahu pegawai kerajaan menghadiri pengebumiannya apabila beliau disemadikan esok.

Para pemimpin pembangkang Lebanon yang anti-Syria menuntut mogok umum tiga hari, peletakan jawatan kerajaan dan pengunduran tentera Syria dari Lebanon.

``Kami menganggap kerajaan Lebanon dan kerajaan Syria bertanggungjawab terhadap jenayah ini,'' kata ahli Parlimen, Bassem Sabeh selepas pembangkang bermesyuarat di kediaman Rafik di Beirut.

Beliau berkata Syria mesti mengundurkan 15,000 askarnya dari Lebanon sebelum pilihan raya Parlimen.

Presiden Lebanon, Emile Lahoud yang disokong Syria berkata, musuh politiknya itu telah meninggal dunia sebagai `seorang yang syahid untuk sebuah Lebanon bersatu.''

Serangan itu mendapat kutukan antarabangsa dan bekas penjajah Lebanon, Perancis meminta siasatan antarabangsa dilancarkan. - AFP
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2017 Invision Power Services, Inc.