HULU KLANG: “Mak Cik Esah cukup misteri. Dia keluar awal pagi dan pulang lewat malam. Dia hanya bercakap tidak lebih 10 kali sepanjang seminggu saya menumpang di rumahnya. “Rumah mak cik jauh ke dalam (kampung), mungkin di satu kawasan kebun. Banyak kali saya cuba berbual dengannya tetapi setiap kali bertanya, Mak Cik Esah hanya mendiamkan diri,” kata Nurkhairina Areni, 17, pelajarSekolah Menengah Teknik Muadzam Shah, Pahang, yang kembali ke pangkuan keluarga selepas hilang sejak 11 Mei lalu. Nurkhairina pulang ke rumahnya di Taman Al-Ridhuan, di sini, semalam selepas dihantar seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang hanya dikenali sebagai Mak Cik Esah, berasal dari Segamat, Johor, ke Stesen Putra-LRT di Kelana Jaya, petang kelmarin. Pelajar tingkatan lima itu tiba di rumahnya kira-kira jam 8 malam ketika anggota keluarganya yang lain sibuk berbincang mengenai usaha mencarinya. Menurut Nurkhairina yang lebih mesra dipanggil Rina di kalangan ahli keluarga, Mak Cik Esah juga sentiasa mendiamkan diri setiap kali dia meminta bantuan untuk menghubungi keluarganya. “Mak Cik Esah yang tinggal seorang diri di rumah kayu tradisional itu tidak pernah berbicara hal peribadi atau perkara lain berkaitan dirinya. “Perwatakannya lembut ketika berbicara tetapi seolah-olah enggan berbual dengan saya walaupun saya cuba berkali-kali,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Rina hanya bertemu Mak Cik Esah setiap kali dia keluar bekerja pada awal pagi dan adakalanya pada lewat malam apabila pulang dari tempat kerja. Menurut Rina, dia tidak pernah nampak pelawat datang ke rumah wanita itu atau sesiapa berada berhampiran kediaman berkenaan. “Sepanjang seminggu di sana, saya hanya membaca buku, termenung dan memikirkan apa akan berlaku selepas ini selain rindu pada keluarga. “Saya cuba meluahkan perasaan itu pada Mak Cik Esah tetapi berikutan kesibukannya bekerja dari awal pagi hingga lewat malam, saya pendamkan saja dalam hati,” katanya. Menurutnya, walaupun tidak banyak berbual, Mak Cik Esah tidak pernah lupa menyediakan makanan untuknya kerana wanita itu sering pulang lewat. “Selama seminggu, saya makan nasi berlaukkan telur goreng. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana Mak Cik Esah meninggalkan barang dapur untuk saya masak,” katanya. Rina berkata, dia terkejut apabila Mak Cik Esah memintanya mengemas barang peribadinya sebelum memberitahu dia akan menghantarnya pulang, pagi kelmarin.
Gadis itu berkata, sebaik mendengar arahan itu, dia bergegas berkemas dan tidak sampai 10 minit kemudian, mereka bertolak dari Segamat ke sini. “Kami bertolak dari sana pada tengah hari dan sepanjang perjalanan menaiki kereta Honda lama berwarna merah miliknya yang dipandunya, dia langsung tidak bercakap dengan saya. “Saya memintanya menghantar ke Stesen Putra LRT Kelana Jaya dan Mak Cik Esah memberikan saya RM10 sebagai tambang. Dia terus berlalu sejurus kemudian,” katanya. Rina berkata, dia hanya sempat mengucapkan terima kasih kepada Mak Cik Esah dan wanita itu hanya tersenyum mesra sebelum beredar dari situ dengan alasan ada urusan lain. Menceritakan kejadian sebelum dibawa Mak Cik Esah pulang ke rumahnya pada 11 Mei lalu, Rina berkata, sebaik tiba di terminal bas Segamat, dia segera ke kaunter untuk membeli tiket bas ke Muadzam Shah. “Ketika sibuk mencari kaunter tiket, saya rasa ada orang meraba poket belakang seluar dan sejurus kemudian mendapati beg duit sudah tiada. “Saya terpinga-pinga dan risau selain berjalan mundar-mandir memikirkan apa perlu dibuat kerana saya tidak kenal sesiapa di sana,” katanya yang kehilangan wang tunai RM50 serta pelbagai dokumen lain.
Rina yang ketakutan kemudian menunggu di terminal berkenaan dan berharap ada orang sanggup membantunya mendapatkan tiket pulang ke Muadzam Shah. Dia yang kepenatan dan kelaparan kemudian berbaring di pangkin terminal bas itu sebelum tertidur. Sebaik terjaga dari tidur keesokan paginya, Rina berkata, seorang wanita yang bersimpati mengajaknya tinggal sementara di rumahnya di perkampungan berdekatan bandar Segamat. Wanita itu juga berjanji menghantar saya ke Kuala Lumpur pada Rabu kerana pada hari berkenaan, dia ada urusan di ibu negara. Rina memeranjatkan keluarganya apabila tiba-tiba muncul di rumahnya di Hulu Klang, malam kelmarin.
Menurutnya, dia sudah menghubungi rakan sekelasnya di Sekolah Menengah Teknik Bandar Muadzam Shah dan berjanji akan memulakan persekolahan semula minggu depan.