SOALAN: Anak saya sering menghidap infeksi tonsil, apakah puncanya? Perlukah tonsilnya dicabut jika masalah ini berlaku setiap bulan?

Jawapan: Tonsil ialah organ imuniti yang menjalankan tugas saringan untuk jangkitan kuman ke atas tekak.

Jika anak dijangkiti oleh kuman, tonsil menjadi penjaga pintu yang menghalang kuman tersebut daripada masuk ke dalam badan anak.

Kadangkala, reaksi tonsil ini menjadi berlebihan dan membesar sehingga boleh menyekat pernafasan.

Pada masa dahulu, penyakit tonsilitis yang kerap adalah indikasi untuk buangkan tonsil anak. Pada masa ini, kita jarang sekali mengeluarkan tonsil anak.

Indikasi yang tidak boleh dinafikan ialah jika tonsilnya terlalu besar sehingga menyekat pernafasan dan mereka berdengkur pada waktu tidur serta kesesakan nafas semasa tidur.

Jika infeksi tonsil berlaku kerap sangat (lebih daripada 12 kali dalam setahun), maka kita mungkin akan lakukan pembedahan mengeluarkan tonsil anak.

Vaksin meningitis penting untuk anak-anak

Soalan: Adakah vaksin untuk meningitis perlu untuk anak-anak kecil? Jika ya, kenapakah vaksin ini bukan wajib untuk kanak-kanak di Malaysia?

Jawapan: Vaksin untuk meningitis (penyakit radang otak) adalah penting untuk kanak-kanak kecil.

Penyakit meningitis boleh disebabkan oleh beberapa kuman seperti Haemophilus influenzae b, Streptococcus pneumoniae, virus-virus seperti virus beguk, campak dan lain-lain, penyakit tibi (tuberkulosis), dan banyak lagi.

Kuman yang kerap menyebabkan meningitis ialah H.influnzae b (Hib) diikuti oleh S. pneumoniae (atau pneumokokus).

Pada masa ini, vaksin Hib diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2002, dan BCG (untuk penyakit tuberkulosis) telah lama diwajibkan untuk semua bayi semasa baru lahir.

Vaksin untuk pneumokokus tidak diwajibkan pada masa ini tetapi boleh didapati di klinik-klinik dan hospital-hospital swasta.

Kuman pneumokokus boleh juga menyebabkan penyakit-penyakit pneumonia (jangkitan paru-paru), bakteremia (jangkitan kuman dalam darah), jangkitan telinga tengah dan juga resdung (jangkitan sinusitis).

Sebab utama yang vaksin ini tidak lagi diwajibkan ialah kerana kosnya yang tinggi.

Jika ibu bapa inginkan anak mereka diberi vaksin pneumokokus ini, mereka boleh dapatkan tiga dos dengan vaksin tiga serangkai (iaitu dua suntikan tiap kali) dan satu lagi lepas umur 1 tahun.

Anak usia setahun perlu tidur lapan jam

Soalan: Berapa jamkah seorang bayi berusia setahun perlu tidur dalam sehari? Bagaimanakah cara untuk memaksa anak tidur lebih awal/ lebih banyak?

Jawapan: Selalunya anak berusia setahun memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam tidur tetapi ramai anak yang tidur 10 jam atau lebih.

Mereka juga akan tidur waktu siang. Anak perlu ditidurkan pada masa yang sama tiap-tiap hari atau malam. Kurangkan aktiviti dan tontonan televisyen sebelum tidur.

Cuba buatkan rutin membaca buku semasa anak hendak tidur ini akan meningkatkan interaksi anak dengan ibu bapa dan juga menggalakkannya lebih suka membaca buku.

Satu lagi cara menidurkan anak ialah dengan mengurut bayi yang akan meningkatkan hormon melatonin dan kurangkan kortisol supaya anak rasa tenang dan lebih senang tidur.

Anak selesema tidak perlu ke doktor?

Soalan: Kakak saya menasihati saya supaya jangan bawa anak ke doktor apabila dia mengalami selesema yang tidak teruk.

Menurut beliau, adalah lebih baik anak dibiar sembuh tanpa ubat supaya sistem imunnya bertambah kuat.

Adakah ini benar? Saya tidak sampai hati membiarkan anak sakit tanpa diubati.

Jawapan: Nasihat ini perlu diambil dengan sedikit nasihat tambahan.

Memang benar jika anak demam selesema satu atau dua hari dan tidak nampak terlalu tenat, ia boleh dirawat di rumah dengan ubat parasetamol atau ubat lain yang ada.

Tujuan membawa anak berjumpa doktor atau pakar pediatrik ialah untuk memastikan anak tidak dijangkiti oleh penyakit yang serius seperti jangkitan telinga tengah, pneumonia, meningitis, sinusitis, atau yang lain yang memerlukan rawatan antibiotik.

Bukan semua anak yang demam selesema memerlukan ubat antibiotik.