REVIEW MURTABAK RAJA SILA SKROL KE BAWAH

Oleh Nur Syuhada Shamsuddin
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Laksana seorang doktor mata yang memberi khidmat nasihat kepada pesakit, Ustaz Fairus Mohamed tenang berbicara ketika orang ramai mengunjungi gerai pamerannya di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Keempat (MIHAS) 2007 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Walaupun berjiran dengan lebih 500 gerai lain yang di antaranya menjual pelbagai produk kecantikan dan kesihatan, keluaran tempatan dan antarabangsa, Ustaz Fairus tetap yakin toner mata yang diusahakannya sejak 10 tahun lepas bakal menarik perhatian ramai.
Apabila gerai pamerannya dihalakan lensa kamera dan wartawan mula mencatat sesuatu pada buku, pengunjung yang kebanyakannya berkaca mata mula mengintai produk ciptaan Ustaz Fairus yang dikatakan boleh menyembuhkan masalah rabun jauh dan dekat yang serius.
"Dengan izin Allah sembuh. Tidak perlu dibedah dan berkaca mata. Insya Allah," kata Ustaz Fairus kepada Bernama ketika ditemui di MIHAS baru-baru ini.
TIADA PENDIDIKAN FORMAL DALAM BIDANG OPTOMETRI
Ustaz Fairus, 37, mendapat pendidikan dalam bidang pengajian Islam di Pasir Tumbuh, Kelantan serta Pattani (Thailand) dan di Mekah. Tanpa mengikuti pengajian formal dalam bidang optometri di mana-mana universiti, beliau hanya berpandukan kitab-kitab lama Arab untuk menghasilkan produknya.
Jelas Ustaz Fairus, toner mata itu dihasilkan daripada perahan pucuk daun kayu yang terpilih, antaranya daun sirih sebagai bahan utama dan daun bakawali, madu lebah dan air zam-zam.
Individu pertama yang mencuba toner mata di bawah label Qurrotaaini itu adalah ibu mentuanya yang rabun sejak kecil. Ketika hampir dibedah akibat penglihatan yang sangat kabur semasa berusia

tahun, Ustaz Fairus mengajukan dua botol produknya untuk dicuba.
Belum habis pun sebotol, cermin mata yang sebelum itu tidak lagi boleh digunakan ibu mentuanya kerana kabur, semakin hari semakin "terang". Berdasarkan testimoni pertama itu, Ustaz Fairus mula menjual toner mata itu di pasar tani dan masjid-masjid.
HADIRI KURSUS DALAM BIDANG MATA
Pada mulanya, perasaan was-was menguasai diri kerana toner matanya yang ketika itu tanpa pembungkusan yang sempurna, dijual dengan harga RM6 sebotol berbanding satu lagi toner mata berjenama terkenal yang dijual dengan harga RM3.
Namun berkat doa dan keyakinan yang tersemat di jiwa, membuatkan Ustaz Fairus enggan menoleh ke belakang lagi. Ternyata percubaan pertamanya membuahkan hasil apabila produknya mula mendapat sambutan ramai.
"Apabila melihat sambutan baik itu, pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) memanggil saya untuk menghadiri kursus dalam bidang mata di universiti-universiti tempatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya.
Antara kursus yang dihadiri adalah 'The Course on Good Manufacturing Practice'(GMP) anjuran UKM dan Kursus 'Chronic Ear, Nose and Throat (ENT) Illnesses' anjuran Jabatan Otorinolaringologi, Kepala dan Leher, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
"Sedikit sebanyak saya mula tahu terma-terma untuk mata seperti glaukoma, retina," jelasnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.
PENGAKUAN PENGGUNA
Pelbagai pengalaman juga dapat dilihat pada buku testimoni pengguna dan laman web Qurotaaini. Antara yang menarik ialah pengakuan daripada seorang pensyarah universiti tempatan, Profesor Madya Che Siah Che Man.
Menurut Che Siah, beliau telah menggunakan toner mata itu sejak empat tahun lalu.
"Selepas itu ibu saya yang berusia 78 tahun turut menggunakannya. Sebelum menggunakan Qurrotaaini, matanya hampir dibedah. Alhamdulillah selepas itu beliau tidak lagi memakai cermin mata," katanya.
Selain itu testimoni pengguna dari Kuala Terengganu iaitu Syed Ahmad Idrus. Beliau menghidap penyakit kencing manis sejak 28 tahun lalu sehingga menyebabkan penglihatannya semakin kabur. Namun selepas menggunakan tiga botol Qurrotaaini, penglihatannya semakin jelas.
IMPIAN MEMASARKAN KE PERINGKAT ANTARABANGSA
Antara kejayaan manis Ustaz Fairus apabila menerima Anugerah Usahawan Pemasar Gemilang peringkat kebangsaan pada tahun 2004 kategori Komoditi Herba yang dianugerahkan FAMA. Ia disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Buat masa ini, toner mata itu dikilangkan di Pulau Pinang. Namun permintaan daripada pengedar di seluruh negara yang mencecah 20,000 hingga 30,000 sebulan, menyebabkan Ustaz Fairus membeli sebuah kilang di Bandar Indera Mahkota, Kuantan yang masih dalam proses pengubahsuaian.
Tiada penyakit yang tiada penawarnya.