Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Persoalan Puasa Dan Hari Raya Puasa
Mesra.net Forum > Social & Societies > Hal Ehwal Islam > Soal - Jawab Agama
Pages: 1, 2
Ewan_sn
......
Ewan_sn
Suntikan Doktor ketika Puasa

Soalan:
Saya telah diserang penyakit gatal-gatal di badan. Apabila ke kelinik untuk mendapatkan rawatan, doktor
telah mengenakan suntikan kepada saya. Apakah puasa saya dikira batal kerana suntikan itu?

Mazlan, KL



Jawapan: Sebahagian ulama mengatakan bahawa memasukkan ubat dengan suntikan ketika siang bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Diantara yang menyokong pendapat ini iaitu Ibn Hazm. Namun setengah ulama yang lain membatalkannya. Bagi kami hal ini melihat keadaan, jika suntikan itu terpaksa dilakukan maka ia termasuk dalam darurah dan tidak membatalkan puasa.
Ewan_sn
Boleh lewat niat puasa sunat


SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai puasa sunat. Saya tersedar pukul 6 pagi, terus saya rasa saya nak berpuasa sunat bulan Syaaban. Adakah sah puasa saya?



JAWAPAN:

Niat bagi puasa sunat boleh dilewatkan, tempohnya ialah sehingga tergelincir matahari. Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Waktu yang seharusnya berniat bagi setiap puasa ialah malam hari atau berniat sebelum masuk waktu subuh. Namun, ulama dalam fiqh seperti Imam Ahmad bin Hambal, Abu Hanifah dan Imam al-Syafie meriwayatkan daripada Abi al-Darda’ dan Abi Thalhah dan lainnya berpendapat harus berniat di siang hari.

Ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah yang bermaksud: “Aisyah r.a. telah memberitahu: “Rasulullah SAW telah berkata pada suatu hari: Wahai Aisyah ada apa-apa di sisi engkau untuk dimakan? Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah tidak ada apa-apa di sisiku untuk dimakan. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Kemudian baginda telah datang kepada kami (isteri-isteri baginda) lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah kami telah dihadiahkan dengan hais (sejenis makanan yang diperbuat daripada minyak sapi dan tepung gandum )”. (riwayat Muslim).

Falsafah sebelum tergelincir matahari adalah kerana separuh daripada hari itu dia telah menahan dirinya dari makan dan minum. Kedua, jika ingin berniat selepas tergelincir matahari bermaksud sudah lebih daripada setengah hari sedangkan setiap amalan itu perlukan niat dan tidak berlaku lagha (sia-sia).

Ada beberapa persoalan lain dalam puasa sunat yang perlu diketahui umum. Di antaranya adalah:

* Persoalan berkaitan dengan hukum menyempurnakan puasa sunat. Boleh atau tidak baginya memutuskan puasa sunat itu?

Jumhur ulama berpendapat tidak wajib disempurnakan malahan sunat baginya menyempurnakan puasa tersebut. Jika dia memutuskan atau membatalkan puasanya maka tidak wajib dia menggantikan puasa tersebut.

Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar yang menyatakan yang bermaksud: “Tidak menjadi dosa bagi mereka yang ingin memutuskan puasa selagi mana puasa itu bukan puasa nazar atau puasa ganti Ramadan”.

Ibn Abbas menjelaskan dalam satu riwayat yang bermaksud: “Sekiranya ada di kalangan kalian yang berpuasa sunat, kemudian dia mahu memutuskan (membatalkan) lakukanlah…”


Wanita yang berpuasa sunat dengan izin suaminya

Syarat puasa sunat sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan iaitu Islam, baligh, berakal, suci dari haid dan nifas serta disyaratkan dengan niat dan meminta izin suami bagi wanita yang berumahtangga.

Maka di antara syarat sah puasa sunat bagi wanita adalah meminta izin suaminya. Ini jelas dalam tegahan Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menegah para isteri dari berpuasa sunat tanpa izin suami mereka”. (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm:560 ).

Di dalam kitab al-Majmu’ karya fiqh mazhab al-Syafieyyah dinukilkan yang bermaksud: “Tidak harus bagi seorang isteri berpuasa sunat sedang suaminya ada di sisi.” (al-Majmu’, jld:6, hlm; 453-454)

Kesimpulannya

Kita disunatkan berpuasa setiap bulan. Seboleh-bolehnya jangan berlalu bulan tanpa kita berpuasa, sama ada dengan puasa tiga hari setiap bulan, puasa Isnin dan Khamis atau puasa-puasa lain yang disunatkan.

Menurut ulama, puasa sunat harus dilakukan pada mana-mana hari di sepanjang tahun kecuali di bulan Ramadan, hari raya dan hari-hari Taysriq. Namun, digalakkan memilih hari-hari khusus yang disunatkan oleh Rasulullah SAW kita berpuasa.
Ewan_sn
Melakukan Persetubuhan (sah) di bulan Ramadhan



Soalan :
Berhubung dengan persoalan yang telah saya kemukakan sebelum ini, saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hukuman atau denda yang dikenakan oleh Islam kepada orang yang melakukan hubungan intim (yang sah) semasa dalam puasa di bulan Ramadhan.



1) Apakah hukuman yang dikenakan kepada lelaki dan juga perempuan yang melakukan hubungan tersebut?

2) Macam mana hendak melakukan hukuman tersebut, contohnya yang melibatkan puasa 2 bulan.. macam mana niat untuk puasa tersebut?

3) Bolehkan wang digunakan sebagai ganti untuk secupak makanan asasi dan wang tersebut diberikan kepada pihak tertentu contohnya pihak masjid, majlis-majlis agama untuk mereka serahkan kepada fakir miskin atau senasib?

4) Adakah ada hukuman tambahan andai tidak sempat 'membayar' hukuman tersebut dalam tahun pertama membuat kesalahan, maksudnya telah sampai ramadhan yang kedua dan seterusnya (puasa yang ditinggalkan telah diganti cuma denda sahaja yang belum dilaksanakan)?




Jawapan :

Persetubuhan yang dilakukan dengan sengaja dalam keadaan berpuasa adalah dikenakan kaffarah iaitu :

- Memerdekakan seorang hamba jika mampu dan ada.

- Berpuasa 2 bulan berturut-turut

- Mengeluarkan 60 cupak beras jika tidak mampu berpuasa.


2. Niat puasa kaffarah hendaklah dilakukan pada malam hari kerana ia termasuk dalam puasa yang wajib.

Niatnya ialah :

" Sahaja aku puasa kaffarah esok hari kerana Allah".


3. Boleh diberikan kepada pihak masjid atau umpamanya jika saudara yakin kaffarah tersebut boleh disampaikan ke dada fakir miskin. Untuk lebih mudah bayar kepada Lembaga Zakat.

4. Seelok-eloknya hendak bayar kaffarah tersebut dengan segera dan diqada' sehari puasanya secepat mungkin seelum sampai tahun yang berikutnya. Jika melangkau ke tahun yang berikutnya maka dia wajib mengqada' sehari puasanya dan membayar secupak beras fidyah dan 60 cupak beras kaffarah.
Ewan_sn
Qadha Puasa


Soalan :
Bagaimana caranya jika saya ingin menggantikan puasa saya 7 tahun yang lepas. Saya pernah menggantikan puasa tetapi tidak penuh dan kini saya sudah lupa berapakah jumlah gantian puasa yang saya lakukan. Apa yang saya pasti , ia tidak pernah lebih dari 8 hari. Bagaimana saya ingin menggantikan puasa itu dan berapakah fidyah yang perlu saya bayar? Bolehkah jika saya ingin membayar fidyah itu dengan duit dan bukan beras. Saya harap ustaz dapat membantu kerana saya agak keliru. Saya bercadang ingin menggantikan semula semua puasa-puasa saya
.


Jawapan :
Fidyah yang perlu dibayar ialah sebanyak 224 cupak. ( 1 cupak = 600gm)

Fidyah hendaklah diberikan kepada fakir miskin (seorang atau beberapa orang)

Fidyah beras boleh diganti dengan nilaian wang bergantung kepada harga beras yang dimakan seharian oleh individu tersebut.

Jumlah gantian puasa ambil kiraan maksimum hari yang ditinggalkan. ( hari tidak berpuasa x tahun yang perlu diganti)

Sekiranya puasa yang diganti itu terlebih jumlahnya ia dikira sedekah.

Ewan_sn
Permasalahan haid dan puasa


Soalan :

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya mengenai puasa. Saya mempunyai haid yang dalam sebulan normalnya 7 hari kemudian dia akan berhenti dan saya akan terus mandi dan sembahyang selang dalam seminggu lebih kemudiannya dia akan datang kembali dengan keadaan yang cuma lendir yang berwarna coklat.

Adakah dalam bulan Ramadhan ini puasa saya sah atau tidak jika antara waktu yang sudah berhenti dengan yang datang lendir berwarna coklat itu saya teruskan berpuasa. Adakah antara masa berhenti itu dengan waktu datang lendir saya kena mengqadakkan puasa. Jawapan amat saya harapkan.

Terima kasih.



Jawapan :

Tempoh kedatangan darah haid ialah paling cepat sehari semalam, kebiasaan selama 7 hari dan paling maxima 15 hari.

Darah haid datang dalam pelbagai bentuk, ada merah kehitam-hitaman, merah pekat, coklat kehitaman, kuning pekat, ada juga ciri lain di mana ia keluar dalam kedaan berketul dan ketika ia banyak keluar, akan terasa sedikit hangat. Bau darah ini biasanya agak hanyir berbanding dengan darah biasa. Sekiranya tidak dapat mengenal pasti ciri-cirinya rujuklah kepada pakar/doktor.

Apa yang saya maklum dari persoalan saudari ialah saudari biasa datang haid 7 hari, selepas itu ( 8 hari @ lebihi lagi) dalam kedaan suci. Dalam perkiraan saya; lendir berwarna coklat hanya keluar pada hari keenam belas dan seterusnya ( jika perkiraan adalah dari tarikh hari pertama darah haid saudari datang ). maka jelaslah di sini darah itu bukan darah haid, saudari wajib solat dan berpuasa. Antara waktu berhenti haid dan datang lendir coklat tidak perlu Qada puasa kerana saudari sedang dalam suci. Pastikan perkiraan maxima bilangan hari kedatangan darah tersebut untuk mengenal pasti samada ia darah haid @ darah Istihadah ( darah penyakit).

Jika lendiran berterusan, dapatkan nasihat pakar bagi menyelesaikan masalah sebelum lebih banyak mudharatnya.



Ewan_sn
Pengsan semasa puasa


Soalan :
Assalamualaikum,

Saya ada kemusykilan mengenai puasa.
Saya menghidapi penyakit sawan yang baru dikesan bulan Julai tahun ini.
Berikutan dengan pembatalan puasa akibat tidak sedarkan diri, bagaimanakah kedudukan sawan dalam konteks puasa?

Terima kasih.



Jawapan :
Seseorang yang pengsan atau tidak sedarkan diri sepanjang hari dalam bulan Ramadhan adalah batal puasanya, tetapi seandainya hanya pengsan seketika maka tidak merosakkan ibadah puasanya.



Ewan_sn
Mandi Junub Di Bulan Ramadhan


Soalan :

Assalamualaikum,

Bilakah waktu yang sesuai untuk mandi wajib selepas bersama dengan suami pada malam hari pada
bulan Ramadan?

Sekian Terima Kasih.



Jawapan.
Waktu yang paling sesuai untuk mandi wajib ialah sebelum terbit fajar, iaitu sebelum masuk waktu subuh. Waktu subuh tempohnya pendek dan solat yang afdal ialah solat yang dilakukan pada awal waktu. Melambat-lambatkan mandi wajib adalah makruh. Ini kerana apabila seseorang itu berada dalam hadas besar maka banyak perkara yang tidak boleh dilakukannya seperti membaca Al-Quran, solat dan sebagainya.

Justeru, adalah dituntut seseorang yang berhadas besar agar segera menyucikan dirinya dengan mandi wajib. Secara fitrah, naluri insan seseorang itu tidak suka dirinya berada dalam kekotoran. Orang berhadas besar tidak berapa selesa berbanding dengan waktu dia bersih daripada hadas besar.

Sekiranya seseorang lelaki atau perempuan berjunub pada malam hari dalam bulan Ramadan dan tidak sempat mengangkat hadas besar sehingga terbit fajar (masuk waktu subuh), maka puasa kedua-dua mereka sah dengan syarat mereka berniat pada malam hari. Sama juga keadaan ini bagi mereka yang bermimpi pada malam hari sehingga keluar air mani.

Pandangan ini dapat diperkukuhkan lagi dengan melihat kepada apa yang diberitakan oleh isteri-isteri Rasulullah s.a.w. iaitu Aisyah dan Ummu Salamah yang bermaksud: Sesungguhnya Rasulullah dalam keadaan junub ketika masuk waktu fajar kemudian baginda mandi (mandi selepas masuk waktu solat subuh). (al-Lu’lu’ wa al-Marjan, jld, 2, hlm, 11, al-Bukhari dan Muslim) .
Ewan_sn
Hukum Memakai Kanta Sentuh di Bulan Puasa


Soalan:

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya apakah hukumnya samada batal atau tidak puasa sekiranya saya memakai kanta sentuh (contact lens) di bulan puasa kerana saya akan menitikkan ubat mata (lens drop) apabila mata saya kering?

Sekian Terima Kasih.


Jawapan.

Sah puasanya kerana mata bukanlah rongga yang terbuka. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.
Ewan_sn
Memberus Gigi Selepas Azan Subuh


Soalan :

Assalamualaikum,

Adakah sah puasa saya sekiranya saya memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Sekian Terima Kasih.


Jawapan :

Sah puasa memberus gigi selepas azan subuh berkumandang. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.
Ewan_sn
Menggunakan inhaler pada semasa berpuasa


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Apakah hukum menggunakan inhaler (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?

Sekian Terima Kasih.



Jawapan.

Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat bergantung kepada penggunaan 'inhaler' (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan. Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib mengqada semula puasa tersebut.

Harap sedia maklum.
Ewan_sn
Kedudukan puasa wanita dalam keadaan haid


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Apakah kedudukan puasa bagi wanita yang telah kekeringan haid pada waktu malam bulan Ramadhan tetapi tidak sempat mandi hadas besar sehingga terbit fajar?


Jawapan.

Menurut ulama shafi'iyah terdapat 4 perkara yang menentukan sah atau tidaknya puasa seseorang. Antaranya:

1-Islam
2-Berakal
3-Suci dari haid dan nifas sepanjang hari
4-Dilaksanakan pada waktunya

Sekiranya seseorang itu didapati telah kering haidnya pada malam bulan Ramadhan, sewajarnya dia segera menyucikan dirinya dengan mengangkat hadas besar(mandi hadas). Ini supaya dia dapat berpuasa pada keesokan harinya setelah berniat pada malam harinya.

Dalam kes ini, sekiranya wanita terbabit tidak sempat untuk mengangkat hadas besar sehingga terbitnya fajar, maka puasanya tidak sah sekalipun telah berniat pada malam harinya. Ini kerana wanita itu masih berada dalam keadaan tidak suci dari haid dan dilarang sama sekali untuk melaksanakan apa jua ibadah fardhu yang diwajibkan ke atasnya termasuklah puasa.

Wallahu A'lam.
Ewan_sn
Gastrik di bulan puasa


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Apakah wajib bagi seseorang yang mempunyai penyakit gastrik membayar fidyah selain wajib menggantikan puasanya yang tertinggal?




Jawapan.

Mereka yang disahkan oleh doktor mempunyai penyakit gastrik serta tidak mampu meneruskan puasanya, maka dalam keadaan ini seseorang itu di bolehkan berbuka puasa. Bagaimanapun, puasa yang ditinggalkannya itu wajib diganti pada bulan-bulan yang lain tanpa perlu membayar fidyah.

Tetapi sekiranya doktor atau pakar perubatan mengesahkan penyakit gastrik yang dialami boleh membahayakannya atau memudaratkannya, sekiranya dia berpuasa sekalipun di luar bulan Ramadhan maka dia wajib untuk membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkanya. Sebagaimana yang didtetapkan, bilangan fidyah bagi sehari puasa yang ditinggalkan ialah sebanyak secupak beras menyamai 675gram.

Umumnya, pembayaran fidyah tanpa perlu mengqadakan (menggantikan) puasa dikenakan kepada golongan yang mempunyai penyakit yang tiada harapan lagi untuk sembuh serta orang tua yang uzur yang tidak berupaya untuk puasa.

Wallahu A'lam.
Ewan_sn
Orang pitam sah berpuasa?


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Adakah sah puasa bagi seseorang yang pitam?


Jawapan

Sah puasanya, kecuali pitam yang berpanjangan dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.


Wallahu A'lam.
Ewan_sn
Makan dengan tidak sengaja ketika sedang berpuasa


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Apakah hukum seseorang yang makan secara tidak sengaja atau terlupa ketika sedang berpuasa?



Jawapan

Sah puasanya, kerana itu adalah rezeki daripada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t kepadanya".


Wallahu A'lam.


Ewan_sn
Bersahur ketika azan subuh berkumandang


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Adakah sah puasa seseorang, ketika sedang bersahur terdengar azan subuh berkumandang?




Jawapan

Sah puasanya, dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus membuang sisa makanan yang berada di dalam mulutnya.


Wallahu A'lam.

Ewan_sn
Hari-hari yang disunatkan berpuasa dalam Islam


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Bolehkah ustaz senaraikan hari-hari yang digalakkan berpuasa sunat dalam Islam?




Jawapan

Diantara hari-hari yang disunatkan untuk berpuasa dalam Islam adalah seperti berikut:

Puasa enam iaitu puasa yang dijalankan selama enam hari dalam bulan Syawal. Puasa ini dilakukan sehari selepas 1 Syawal sama ada secara berturut-turut atau tidak.
Puasa awal bulan Zulhijjah dari 1 haribulan hingga 8 haribulan Zulhijjah.
Puasa pada hari Arafah iaitu pada 9 haribulan Zulhijjah.
Puasa pada 9 haribulan Muharram.
Puasa pada Hari Asyura iaitu pada 10 haribulan Muharram.
Puasa dalam bulan Rejab mengikut kemampuan berpuasa.
Puasa dalam bulan Sya'ban kecuali pada hari syak iaitu 30 haribulan Sya'ban.
Puasa pada tiap-tiap hari isnin dan khamis.
Puasa tiga hari pada tiap-tiap hari bulan Qamariah.

Ewan_sn
Niat sekali dalam puasa qada'


Soalan :

Assalamualaikum wrm wrbt.

Bolehkah saya niat puasa qada' sekali sahaja pada hari pertama untuk puasa qada 7 hari berturut-turut?


Jawapan

Tidak harus kerana sepuluh puasa qada' itu adalah puasa yang berlainan seperti orang tinggal sepuluh kali pada sembahyang Subuh. Maka sepuluh Subuh itu adalah lain di antara satu sama lain. Maka hendaklah berniat pada membuat tiap-tiap sembahyang yang sepuluh itu. Begitu juga dengan puasanya.




Ewan_sn
Berpuasa dan berhari raya mengikut hari di Mekah


Soalan

Assalamualaikum wrm wrbt.

Bolehkah kita berpuasa dan berhari raya mengikut hari di Mekah atau negeri yang lain kerana negeri tersebut kelihatan anak bulan lebih awal?




Jawapan

Tidak harus kita berpuasa atau berhari raya mengikut negeri-negeri tersebut kecuali negeri tersebut berada dalam satu matla'.

Wallahu A'lam.
Ewan_sn
Meninggalkan puasa kerana mengandung


Soalan
Assalamualaikum wrm wrbt.

Apakah hukumnya bagi seorang wanita yang mengandung meninggalkan puasanya di bulan ramadhan atas sebab mengkhuatiri kesihatan diri yang tidak berupaya melakukan kerja-kerja hariannya?




Jawapan

Menurut pendapat ulama mazhab Syafei bahawa wanita hamil dan menyusui apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak payah berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah mengqadha puasanya kelak.

Dalam satu riwayat dari Anas bin malik Al Ka'bi berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah meringankan bagi musafir dalam ibadat puasa dan separuh dari solat dan bagi wanita hamil dan menyusui (ia meringankan) puasa".Hadis di atas merupakan dalil bagi wanita yang sedang hamil atau menyusui boleh berbuka puasa.

Wallahu A'lam.
Ewan_sn
Antara puasa sunat dan puasa qada'


Soalan

Assalamualaikum wrm wrbt.

Adakah dengan mengerjakan puasa enam (puasa sunat) kita tidak perlu membayar puasa qada'?




Jawapan

Mengqada puasa adalah kewajipan kita menggantikan puasa yang tertinggal pada bulan Ramadhan kerana sebab-sebab tertentu. Setengah ulama mengatakan kita perlu mengganti puasa wajib yang kita tertinggal itu barulah kita mengerjakan puasa sunat yang lainnya. Jadi antara puasa qada' dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, perlulah dipisahkan antara yang Fardhu (wajib) dan yang Sunat. Kerjakanlah puasa qada' dahulu barulah kerjakan yang sunat kerana itulah yang lebih afdal.

Wallahu A'lam.
Ewan_sn
Melakukan aktiviti renang ketika puasa


Soalan

Assalamualaikum wrm wrbt.

Adakah batal puasa saya sekiranya saya melakukan aktiviti renang?



Jawapan

Melakukan aktiviti renang dengan niat untuk menyejukkan badan adalah makruh. Tetapi apabila air tersebut masuk ke dalam rongga yang terbuka seperti hidung, telinga dan sebagainya, maka hukum puasanya adalah terbatal dengan sebab melakukan aktiviti renang dengan sengaja.
Ewan_sn
Keluar air mani di bulan puasa


Soalan
Assalamualaikum wrm wrbt.

Adakah terbatal puasa setelah bangun dari tidur dan didapati telah keluar air mani akibat bermimpi?




Jawapan

Tidak batal puasa tersebut. Apabila keluar air mani kerana bermimpi adalah bukan perkara yang disengajakan.
Ewan_sn
Puasa nazar


Soalan

Assalamualaikum wrm wrbt.

Tunang saya telah meninggal dunia baru-baru ini. Semasa hidupnya, arwah pernah memberitahu saya yang beliau selalu bernazar akan berpuasa 1 hari apabila 1 kertas peperiksaan universitinya lulus. Tetapi pada tahun ini, beliau masih belum menggantikan puasa nazarnya sebanyak 10 hari kerana berniat utk menggantikannya selepas kami mendirikan rumahtangga pada bln 9 tahun ini. Saya tidak pasti adakah 10 hari baki puasa tersebut adalah daripada niatnya pada tahun lepas atau termasuk juga pada tahun sebelumnya.

Soalannya:
1)Bagaimanakah cara untuk menggantikan puasa nazar arwah tunang saya?
2)Bolehkah saya menunaikan puasa tersebut atau perlu waris yg terdekat?


Jawapan

1) Bagi makan kepada 6 orang fakir miskin.

2) Awak dan saudaranya tidak boleh menggantikan puasa nazar tunang awak itu.



Ewan_sn
Muntah semasa menjalankan ibadah puasa


Soalan
Semasa mengerjakan ibadah puasa, saya telah termuntah dengan teruknya sebanyak 3 kali. Adakah puasa saya telah terbatal?



Jawapan :
Tidak batal kerana saudara muntah dengan tidak sengaja.
Ewan_sn
Hari-hari yang diharamkan berpuasa



Soalan

Apakah hari-hari yang diharamkan berpuasa dan kenapa?



Jawapan :

Hari-hari yang diharamkan berpuasa adalah:

1- Hari Syak iaitu hari yang apabila ia ragu tarikh sebenar Ramadhan (30 Sya'ban). Ini berdasarkan hadith dari Ammar bin Yasir r.a yang bermaksud :
" Sesiapa berpuasa pada hari syak, sesungguhnya dia telah menderhaka Abu Al-Kasim (Muhammad) s.a.w."

2- Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha iaitu 1 Syawal dan 10 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud :
" Bahawa Rasullullah s.a.w menegah berpuasa pada dua hari iaitu hari raya fitri dan hari raya adha "

3- Hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ini berdasarkan hadith daripada Imam Muslim dalam sahihnya daripada Nabi s.a.w yang bermaksud :
" Hari-hari Mina merupakan hari-hari makan dan minum juga hari mengingati Allah s.w.t "

4- Hari Haid dan Nifas.

5- Ulama' Mazhab Syafii berpendapat adalah haram berpuasa pada separuh akhir bulan Sya'ban yang mana ada di antaranya hari Syak melainkan mereka yang biasa berpuasa sepanjang tahun atau bagi mereka yang berpuasa pada hari tertentu seperti hari Isnin dan Khamis yang puasanya berkebetulan dengan hari selepas 15 Sya'ban atau puasa nazar yang tertanggung ke atasnya atau puasa qada' atau fardhu ataupun puasa yang bersambung dengan puasa selepas Sya'ban dan puasa sebelumnya walaupun satu hari sebelum 15 hari Sya'ban kerana berdasarkan hadith yang bermaksud :

" Apabila telah tiba pertengahan bulan Sya'ban, janganlah kamu berpuasa " (Riwayat Ahmad)

Mazhab Hanbali dan mazhab-mazhab lain tidak berpegang kepada hadith ini kerana ia da'if menurut pendapat Imam Ahmad.

Sumber : Fiqh Islami wa Adilatuh - Dr. Wahbah Zuhaili

6- Puasa bagi orang yang bimbangkan dirinya binasa kerana puasa tersebut.
Ewan_sn
Cara menggantikan puasa kerana melahirkan anak


Soalan

Adakah cara lain untuk seorang wanita menggantikan puasanya dengan alasan baru melahirkan anak?



Jawapan :

Seorang wanita yang mengandung atau yang telah melahirkan anak atau yang sedang menyusukan anak jika wanita tersebut ingin meninggalkan puasa, maka wajib atasnya untuk menggantikan puasa tersebut. Ia terbahagi kepada dua cara iaitu

Sekiranya wanita tersebut meninggalkan puasa kerana khuatir atas kesihatan dirinya maka dia diwajibkan menggantikan puasa tersebut.
Sekiranya wanita tersebut meninggalkan puasa kerana khuatir ke atas kesihatan dirinya dan kesihatran anaknya maka wajib atasnya menggantikan puasa tersebut berserta fidiyah (satu cupak = satu hari)

waulahualam


Ewan_sn
Boleh lewat niat puasa sunat


SOALAN:
Saya ingin bertanya mengenai puasa sunat. Saya tersedar pukul 6 pagi, terus saya rasa saya nak berpuasa sunat bulan Syaaban. Adakah sah puasa saya?



JAWAPAN:

Niat bagi puasa sunat boleh dilewatkan, tempohnya ialah sehingga tergelincir matahari. Jika anda terlupa berniat di malam hari atau sebelum subuh tidak menjadi masalah asalkan anda sempat berniat sebelum tergelincir matahari dengan syarat tidak makan dan minum atau tidak didahului dengan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Waktu yang seharusnya berniat bagi setiap puasa ialah malam hari atau berniat sebelum masuk waktu subuh. Namun, ulama dalam fiqh seperti Imam Ahmad bin Hambal, Abu Hanifah dan Imam al-Syafie meriwayatkan daripada Abi al-Darda’ dan Abi Thalhah dan lainnya berpendapat harus berniat di siang hari.

Ini berdasarkan riwayat daripada Aisyah yang bermaksud: “Aisyah r.a. telah memberitahu: “Rasulullah SAW telah berkata pada suatu hari: Wahai Aisyah ada apa-apa di sisi engkau untuk dimakan? Aisyah menjawab: Wahai Rasulullah tidak ada apa-apa di sisiku untuk dimakan. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku berpuasa.” Kemudian baginda telah datang kepada kami (isteri-isteri baginda) lalu kami berkata: “Wahai Rasulullah kami telah dihadiahkan dengan hais (sejenis makanan yang diperbuat daripada minyak sapi dan tepung gandum )”. (riwayat Muslim).

Falsafah sebelum tergelincir matahari adalah kerana separuh daripada hari itu dia telah menahan dirinya dari makan dan minum. Kedua, jika ingin berniat selepas tergelincir matahari bermaksud sudah lebih daripada setengah hari sedangkan setiap amalan itu perlukan niat dan tidak berlaku lagha (sia-sia).

Ada beberapa persoalan lain dalam puasa sunat yang perlu diketahui umum. Di antaranya adalah:

* Persoalan berkaitan dengan hukum menyempurnakan puasa sunat. Boleh atau tidak baginya memutuskan puasa sunat itu?

Jumhur ulama berpendapat tidak wajib disempurnakan malahan sunat baginya menyempurnakan puasa tersebut. Jika dia memutuskan atau membatalkan puasanya maka tidak wajib dia menggantikan puasa tersebut.

Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin Umar yang menyatakan yang bermaksud: “Tidak menjadi dosa bagi mereka yang ingin memutuskan puasa selagi mana puasa itu bukan puasa nazar atau puasa ganti Ramadan”.

Ibn Abbas menjelaskan dalam satu riwayat yang bermaksud: “Sekiranya ada di kalangan kalian yang berpuasa sunat, kemudian dia mahu memutuskan (membatalkan) lakukanlah…”
Ewan_sn
Wanita yang berpuasa sunat dengan izin suaminya



Soalan :
Adakah jatuh hukum wajib seorang wanita berpuasa sunat?



Jawapan :
Syarat puasa sunat sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan iaitu Islam, baligh, berakal, suci dari haid dan nifas serta disyaratkan dengan niat dan meminta izin suami bagi wanita yang berumahtangga.

Maka di antara syarat sah puasa sunat bagi wanita adalah meminta izin suaminya. Ini jelas dalam tegahan Nabi SAW yang dikeluarkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah menegah para isteri dari berpuasa sunat tanpa izin suami mereka”. (riwayat Ibn Majah, jld:1, hlm:560 ).

Di dalam kitab al-Majmu’ karya fiqh mazhab al-Syafieyyah dinukilkan yang bermaksud: “Tidak harus bagi seorang isteri berpuasa sunat sedang suaminya ada di sisi.” (al-Majmu’, jld:6, hlm; 453-454)


Ewan_sn
Harus niat puasa sebulan


SOALAN 1
Adakah wajib saya berniat setiap hari sepanjang bulan Ramadan atau memadai saya berniat sekali sahaja untuk sebulan?




JAWAPAN:
Kebanyakan ulama berpendapat seseorang yang berpuasa di bulan Ramadan hendaklah berniat setiap hari. Namun demikian diharuskan berniat untuk satu bulan Ramadan.

Perbezaan pendapat adalah berpunca dalam melihat bulan Ramadan itu sendiri. Golongan yang mensyaratkan niat setiap hari kerana ibadat puasa adalah ibadat yang terpisah antara hari-harinya.

Maksudnya, jika dilihat ibadat puasa serta rukunnya jelas ia terpisah. Ini kerana puasa itu bermula dari mula azan subuh hingga azan maghrib. Selepas azan maghrib hingga azan subuh kita tidak lagi berpuasa. Itulah yang dimaksudkan dengan ibadat yang terputus antara hari-harinya.

Bagaimanapun, golongan yang mengharuskan niat puasa untuk sebulan adalah berdasarkan kepada bulan itu sendiri. Maksudnya, bulan Ramadan adalah bulan puasa maka harus berniat puasa untuk keseluruhannya.

Maka dalam meneliti pendapat-pendapat ulama serta nas-nas yang serta dalil yang dikemukakan jelas kedua-duanya betul. Justeru, ingin disarankan di sini bahawa harus kita menghimpun kedua-dua kaedah di atas dengan berniat pada hari pertama dengan dua cara niat, satu untuk setiap hari dan satu lagi niat untuk sebulan.

Lafaz niat untuk sebulan dalam bahasa Melayu adalah: “Sahaja aku niat puasa fardu Ramadan untuk esok hari bagi tahun ini kerana Allah Taala”, manakala untuk sebulan pula: “Sahaja aku niat puasa bulan Ramadan keseluruhannya kerana Allah Taala”.

Maka dengan berbuat demikian kita telah mengambil jalan selamat, iaitu kita mesti berusaha untuk berniat setiap hari dalam masa yang sama kalau ada hari yang terlupa untuk berniat maka cukuplah niat kita pada permulaan Ramadan untuk sebulan.
Ewan_sn
Puasa tapi tidak solat


SOALAN:
Apakah hukum orang yang berpuasa pada bulan Ramadan tetapi tidak menunaikan solat. Jenis atau tingkatan puasa apa bagi golongan ini?

- Mohamad Jiwa, Kuala Lumpur.




JAWAPAN:
Kita semua tahu bahawa agama itu adalah satu ajaran yang menyeluruh dan tidak harus dipilih atau dipisahkan. Sebab itu Rasulullah SAW menggambarkan ibadat solat seperti tiang agama manakala ibadat lain pula seperti atap, dinding dan sebagainya.

Tentulah tidak dinamakan rumah sekiranya ada dinding tanpa tiang dan atapnya kerana ibadat itu bila sudah sempurna rukun dan syaratnya maka dikira sah tetapi tidak cukup dan belum sempurna. Maknanya ia dikira sah sahaja dan belum tentu diterima Allah SWT kerana belum ada asas dan tiangnya. Di mana kita boleh dirikan dinding tersebut selagi tiangnya belum ditegakkan?

Begitulah contohnya lebih kurang apabila seseorang itu hanya berpuasa tetapi tidak bersolat dan sebagainya. Demikian juga mereka yang beriman dengan separuh dan sebahagian ajaran al-Quran dan kufur dengan sesetengah ajaran yang lain.

Renungi firman Allah SWT sebagai balasan-Nya kepada mereka yang bersikap demikian iaitu firman-Nya bermaksud: Maka tidak ada balasan kepada mereka yang berlaku demikian (beriman dengan setengah kitab dan kufur dengan setengah yang lain) selain kehinaan di dunia ini dan pada hari akhirat nanti dia akan ditolak ke dalam azab seksa yang sangat hebat dan Allah tidak pernah lupa tentang segala perbuatan kamu" (al-Baqarah ayat 85).

Kemungkinan besar ibadat puasa tersebut tidak diterima kerana dilakukan bukan ikhlas kepada-Nya tetapi hanya sebab lain. Ini kerana sekiranya seseorang beribadat semata-mata kerana Allah, pasti solat juga dilakukannya dengan ikhlas dan tidak dapat dipisah-pisah begitu, kerana semuanya adalah kewajipan dan perintah Tuhan yang menciptakannya.

Biasanya mereka yang tidak ikhlas tidak dapat berpuasa dengan baik dan sempurna, malah dia makan atau minum jika ada kesempatan di mana-mana. Sebab itu puasa ini adalah ibadat yang Allah saja dapat memberi balasan pahala kerana ianya merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Justeru itu, Nabi dalam hadis qudsi bersabda bermaksud: Segala amalan manusia ini dia sendiri yang punya (boleh dilakukannya sesuka hati) melainkan puasa sahaja, yang aku punya, maka Akulah yang dapat membalas dan menilainya" HR Muslim. Wallahualam.
Ewan_sn
Panduan laksana puasa secara berkesan


Soalan :
SETIAP tahun umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan. Saya bertekad menjadikan Ramadan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya tidak lagi hanya mahu menahan lapar dan dahaga, tetapi masih melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam, walaupun pada pandangan sesetengah orang, perbuatan itu hanya dosa kecil. Saya ingin berubah. Bagaimanakah saya boleh melaksanakan ibadah selama sebulan ini dengan berkesan.

IlyasIshak,
Kapar, Selangor.



Jawapan :
By Jakim

Puasa adalah ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seorang hamba. Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin mengenai puasa:



"Puasa ada tiga kedudukan : Puasa Umum, puasa Khusus dan puasa khusus al-Khusus. Puasa Umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat. Puasa Khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa. Puasa khusus ialah menahan hati daripada keinginan buruk dan tidak memikirkan sesuatu selain daripada Allah dan ini ialah puasa nabi, al- Siddiqin dan al- Muqarrabin.

Seseorang berazam dan bercita-cita melaksanakan puasa dengan berkesan; Pertama hendaklah berpuasa dengan penuh ketaqwaan kepada Allah SWT kerana mengharapkan pahala dan reda-Nya. Kedua, perlu bermujahadah daripada melakukan ataupun menghampiri perkara menerbitkan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar. Ketiga, perlu bersabar dalam menghadapi keinginan diri dan godaan luaran yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Imam al- Ghazali juga menggariskan panduan bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang salih, seseorang perlu menyempurnakan enam perkara iaitu;


Menundukkan pandangan dan menahan diri daripada melihat perkara tercela dan dibenci syariat dan melalaikan hati.


Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat, dusta dan sebagainya.


Menahan diri daripada mendengar perkataan dibenci syarak.


Menahan anggota tubuh daripada melakukan perkara haram seperti menahan perut daripada memakan makanan yang haram atau syubhah.


Makan makanan halal berlebihan sehingga terlampau kenyang.


Perlu timbul dalam hati, perasaan takut dan berharap agar puasa dilaksanakan diterima Allah SWT dan diampunkan dosa.

Bagi mencapai ibadah puasa Ramadan ini dengan lebih berkesan disarankan dan wajar sekali menuruti panduan di atas.
Ewan_sn
Lafaz Niat Puasa Ramadhan

Soalan :
Apakah Lafaz niat puasa bulan Ramadhan ?


Jawapan :

Lafaz niat puasa bulan Ramadhan:
Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya (sebulan):
Maksudnya: Sahaja aku puasa untuk sebulan pada bulan Ramadhan kerana Allah Taala.

Ewan_sn
Puasa: Kelonggaran ibu mengandung

SOALAN:

Ramai kawan bertanya adakah dengan hamil sahaja membolehkan wanita berbuka puasa, atau selepas tujuh bulan atau hampir bersalin? Saya masih mencari jawapan.

– Bakal ibu, Shah Alam.


JAWAPAN:
Apa yang pasti jika seseorang yang mengandung itu menghadapi masalah seperti sakit buah pinggang, maka bolehlah dia berbuka puasa, bukan kerana ia mengandung tetapi kerana penyakitnya itu jika sudah diakui oleh doktor yang pakar. Puasa juga boleh dibuka oleh ibu yang mengandung atau tidak tetapi sedang menyusukan bayi, jika kerana berpuasa akan menyebabkan kekurangan susu daripada payu daranya. Atas keperluan anak susuan itu diizinkan berbuka puasa.

Apa pun ingin saya mengingatkan ada satu kajian di Universiti al-Azhar yang mengatakan puasa itu sendiri tidak memberi kesan buruk kepada mereka yang mengandung dan juga janin dalam perut ibu. Namun jika si ibu yang mengandung merasakan terlalu penat dan boleh menjejaskan kesihatannya, banyak pihak mengatakan ia boleh berbuka puasa.

Ada juga ibu-ibu mengandung yang disahkan oleh para doktor mempunyai masalah kekurangan darah. Jika ia memerlukan makanan berzat, serat atau sebagainya, tetapi kalau dia mampu menampung memakan makanan itu pada waktu berbuka puasa sehingga waktu sahur, tidaklah perlu untuk meninggalkan puasa. Tetapi jika dia tidak mampu mencukupkan makanan tersebut pada masa berbuka hingga waktu sahur, bolehlah dia berbuka.

Kesimpulan di sini, tidak terdapat pengharusan berbuka puasa kepada mereka yang hamil atas hamil semata-mata seperti yang salah difahami. Tetapi puasa boleh berbuka jika sakit atau musafir. Jadi ibu hamil yang sihat dan tidak ada apa-apa masalah tidak boleh menjadikan kehamilan itu sebagai sebab mengharuskan berbuka puasa.

Tetapi sekali lagi diingatkan, jika kerana berpuasa itu menyebabkan kekurangan darah, darah terlampau tinggi tekanannya, masalah jantung, maka boleh berbuka kerana penyakit itu, bukan kerana hamil. Barangkali nasihat doktor boleh menjadi panduan kepada mereka.

KesihatanApa yang pasti, mereka yang mengandung sama ada ketika bulan Ramadan atau di luar bulan Ramadan mestilah menjaga kesihatan masing-masing. Begitu juga dengan menjaga kesihatan anak dalam kandungan. Antaranya dengan memakan makanan yang cukup protein, sayur-sayuran, buah-buahan yang diperlukan. Mereka sepatutnya menjauhkan diri daripada memakan gula yang berlebihan atau garam yang berlebihan. Ini selalu diperingatkan oleh doktor hatta kepada mereka yang sihat.

Saya ingin mengingatkan sama kepada ibu yang sedang menyusu, jika tidak ada apa-apa perkara yang menyebabkan kekurangan bagi bayi yang menyusu, maka berpuasalah. Hanya jika menjejaskan anak-anak susuan kerana berpuasa, maka kemudahan diberikan untuk berbuka tetapi wajib pula untuk mengqada puasa itu.

Barangkali patut juga disebutkan di sini, jika orang tua yang sudah uzur sama ada lelaki atau perempuan, mereka bolehlah berbuka. Mereka tidaklah perlu mengqada puasa mereka tetapi dengan membayar fidyah yang merupakan makanan kepada fakir miskin sehari meninggalkan puasa, seorang fakir miskin dijamu makan. Inilah satu kemudahan yang diberikan oleh Allah atas nama "rukhsah".

Apa yang penting untuk ditegaskan di sini, puasa perlu dilakukan oleh mereka yang sihat tanpa mengira mengandung atau tidak kerana ia mempunyai rahsia yang cukup banyak. Di antara rahsianya adalah manusia bukan sekadar jasad. Jasad itu hanyalah sarang atau sangkarnya. Hakikat manusia adalah kerohanian yang wujud dalam diri. Oleh itu ibadat puasa boleh meningkatkan diri manusiawinya, bukan zahirnya tetapi lebih kepada hakikat dirinya.

Puasa boleh meningkatkan kebaikan diri manusia sebenar, jauh daripada menyembah kebendaan. Ia menuju alam rohani yang tinggi. Jiwa manusia akan naik mendekati Allah, Tuhan yang mencipta diri manusia itu. Jadi soal puasa, jangan hanya dilihat makan atau tidak makan sahaja, ia jauh lebih hebat daripada itu.

KeuzuranJusteru itu mereka yang sengaja meninggalkan puasa tanpa keuzuran syarak, umpama malas atau tidak tahan lapar, wajib lah mereka mengqada puasa mereka, bukannya membayar fidyah. Begitu agak aneh, ada mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan ibadat sembahyang. Ini adalah tanda kejahilan yang amat nyata. Atau mereka yang beria-ria bersembahyang tarawih tetapi meninggalkan sembahyang fardu. Satu lagi kejahilan berganda yang sepatutnya mereka bertaubat.

Mereka yang meninggalkan sembahyang atau puasa, mereka tetap berhutang dengan Allah. Seperti mereka wajib membayar hutang sesama manusia, maka hutang Allah lebih patut mereka bayar, apabila jika mereka tahu diri mereka itu ciptaan Allah. Alangkah sombongnya mereka yang menderhaka kepada Allah itu.

Tetapi saya juga ingin mengingatkan bahawa pintu taubat Allah sentiasa terbuka. Janganlah berputus asa walau sebanyak mana dosa, kerana sifat pengampun yang ada pada Allah bersedia menerima apa sahaja dosa kecuali dosa syirik. Selamat berpuasa, wallahualam.
Ewan_sn
Imsak dulu dan sekarang


SOALAN:
Imsak ialah masa yang ditetapkan untuk kita mulai menahan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Adakah ini juga telah dilakukan pada masa Rasulullah SAW.

– Jazli AbdulRahman,
Shah Alam, Selangor.


JAWAPAN:
Pada masa Rasulullah SAW, tidak ada cara imsak seperti hari ini. Tetapi dalam hadis sahih ada diceritakan, Baginda mulai imsak sebelum subuh. Ini untuk bercermat dalam soal ibadat. Baginda mulakan imsak sebelum azan subuh dalam tempoh lebih kurang bacaan al-Quran sebanyak 50 ayat. Jadi ulama kita hari ini merangka jalan untuk menyenangkan orang ramai dengan mengira bacaan Rasulullah 50 ayat itu selama lebih kurang 10 minit sebelum subuh. Tetapi Rasulullah SAW membenarkan kita melakukan imsak itu apabila kedengaran azan subuh. Ini untuk mereka yang benar- benar prihatin dalam menjaga ibadatnya. Tetapi semua orang tahu sekiranya azan subuh baru hendak imsak tentu agak menyusahkan kerana jarak imsak dengan puasa menjadi kelam kabut. Sebab itulah ulama menetapkan masa imsak lebih kurang 10 minit sebelum azan. Ini dikira termasuk dalam uruf yang disunatkan sesuai dengan amalan Rasulullah SAW. Rasulullah sendiri berhenti makan dan sebagainya sebelum azan subuh dan masa antara keduanya itu baginda sempat membaca al-Quran lebih kurang 50 ayat. Jadi eloklah kita melakukan imsak dalam masa 10 minit sebelum subuh, barulah semuanya dapat dilakukan dengan sempurna dan selesa iaitu ada masa membersih mulut, gigi, dan membersih pinggan mangkuk. Apabila muazin sudah mengalunkan azan sedangkan makanan masih penuh dalam mulut, tentu keadaan kelam kabut dan ini boleh membatalkan puasa tersebut. Kenapa fikiran kita hari ini jadi tertutup begitu apabila berhadapan dengan amalan uruf yang begitu makruf dan baik? Sekiranya perkara makruf yang elok masih juga kita mempertikaikannya tentulah pendapat kita sendiri yang jadi beku dan celaru dan boleh dipersoalkan nanti. Kita juga tahu sekiranya ibadat puasa ini, tidak boleh sempurna tanpa masa imsak tersebut tentulah amalan tersebut (imsakiah) dikira wajib pula. Wallahualam.
Ewan_sn
Sunat dan makruh

SOALAN:
Bolehkah tuan sebutkan perkara sunat dan makruh yang dilakukan di bulan Ramadan Ini. Adakah selawat antara solat tarawih itu disunatkan?

– Mat Ismail, Kajang, Selangor.



Jawapannya:

Antara perkara sunat yang amat digalakkan untuk dilakukan pada bulan Ramadan ialah membaca al-Quran dan bertadarus, mendirikan solat tarawih, bersedekah, beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, menjamu makan, mengadakan program yang dapat merapatkan hubungan antara umat Islam, menambah ilmu pengetahuan, membantu mereka yang memerlukan bantuan, mendamaikan antara dua puak yang bersengketa dan banyak lagi. Antara perkara makruh pula ialah banyak tidur pada siang hari, tidak melakukan perkara yang disunatkan di atas, mengumpat dan bercakap kosong, berkelahi sesama saudara Islam, dan bermain catur, aji di kedai kopi. Pada masa yang lain tidak dilarang tetapi perkara tersebut dilarang dan dibenci sekiranya dilakukan pada bulan Ramadan. Adapun selawat antara solat tarawih hanyalah sunat dan digalakkan seperti firman-Nya bermaksud Allah dan Malaikat-Nya berselawat atas nabi, wahai orang yang beriman selawat dan salamlah keatasnya (maksud al-Quran surah Al- Ahzab). Dan ini boleh dilakukan di mana-mana, tetapi kerana solat tarawih dilakukan secara tenang dan diceritakan pada masa sahabat dulu ada mereka (sahabat) yang selesai satu solat, terus bertawaf, dan selesai tawaf disambung dengan solat tarawih, demikianlah seterusnya. Wallahualam.
Ewan_sn
Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

Soalan :

Apakah perkara-perkara yang membatalkan puasa?


Jawapan oleh Muis :

Perkara-perkara yang membatalkan puasa adalah seperti berikut:
Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan yang terbuka dengan
sengaja, kecuali kerana darurat yang berkaitan dengan kesakitan. (Sila rujuk
soalan 22 dan 23) Makan, minum dan merokok membatalkan puasa. Adapun
suntikan ubatan tidak membatalkan puasa.

- Muntah dengan sengaja
- Mengeluarkan air mani
- Melakukan jimak (hubungan seks) pada siang hari
- Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita
- Menjadi gila
- Pitam sepanjang hari
- Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
- Murtad, iaitu keluar dari agama Islam
Ewan_sn
Mimpi Sehingga Keluar Air Mani

Soalan :

Adakah mimpi sehingga keluar air mani membatalkan puasa?


Jawapan oleh Muis :
Hadas besar yang disebabkan mimpi tidak membatalkan puasa, sama ada ianya
berlaku sebelum atau selepas waktu sahur. Orang yang berhadas tersebut boleh
meneruskan puasanya. Yang perlu hanyalah mandi junub.



Ewan_sn
Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam lubang hidung

Soalan :
Ada yang mengatakan berkumur-kumur dan memasukkan air
ke dalam hidung menjejaskan puasa seseorang. Sejauh manakah
kebenaran pendapat ini?


Jawapan oleh MUIS :

Berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk adalah
sunat. Bagi orang yang berpuasa pula, maka tidak boleh berkumur-kumur dan
memasukkan air ke dalam hidung dengan berlebihan. Sekiranya seseorang
berwuduk dengan tidak kelebihan dan air itu termasuk ke dalam kerongkong,
maka puasanya tetap sah. (Sila rujuk soalan 19). Samalah keadaannya jika
dimasuki debu jalanan, debu tepung atau lalat yang terbang masuk ke dalam
kerongkong. Semua ini dimaafkan kerana tidak sengaja. Namun, jika seseorang
berkumur-kumur dengan berlebihan, ia boleh menyebabkan air masuk ke dalam
kerongkong, dan jika ini berlaku, maka puasanya batal.

Ewan_sn
Suntikan Insulin

Soalan :
Adakah suntikan “insulin” membatalkan puasa?


Jawapan oleh MUIS :
Suntikan insulin bagi pesakit kencing manis tidak membatalkan puasa. Ini
adalah kerana suntikan tersebut bukanlah melalui rongga yang terbuka dan
tidak pula memberi sebarang kekenyangan atau kepuasan kepada si pesakit.



Ewan_sn
Membersihkan Telinga Dan Hidung

Soalan :
Saya pernah terdengar bahawa jikalau seseorang itu
berpuasa, dia dilarang ‘membersihkan’ telinga atau hidungnya.
Samada menggunakan cotton bud ataupun jari. Kerana perbuatan
itu akan membatalkan puasanya. Adakah benar?


Jawapan oleh MUIS :
Di antara sebab batal puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga
badan yang terbuka dengan sengaja. Membersihkan telinga atau hidung tidak
semestinya membatalkan puasa. Ia dibolehkan dengan kadar yang sederhana
dan berhati-hati.

Contohnya, membersihkan telinga di kawasan yang tidak
terlalu dalam. Namun, jika anda merasa ragu-ragu sekiranya perbuatan anda
boleh membatalkan puasa, maka jangan lakukan dan bersihkanlah telinga dan
hidung di waktu malam.



Ewan_sn
Menderma Darah

Soalan :
Adakah boleh saya menderma darah sewaktu berpuasa?


Jawpan oleh MUIS:
Menderma darah di dalam kuantiti yang sederhana dibolehkan dan tidak
membatalkan puasa. Namun, pendermaan yang terlalu banyak sehingga
menyebabkan kelemahan pada tubuh badan, sehingga tidak dapat menjalani
ibadat puasa dengan baik, tidak digalakkan sama sekali.
Ewan_sn
Perkara-Perkara Yang Mengharuskan Berbuka Puasa

Soalan :
Apakah perkara-perkara yang mengharuskan berbuka puasa?


Jawapan :
Diharuskan berbuka puasa jika berlaku perkara-perkara berikut :

1. Kedatangan haid atau nifas(wajib berbuka) .
2. Sakit yang membahayakan.
3. Sakit yang tiada harapan sembuhnya.
4. Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan -- mencemaskan.
5. Dalam perjalanan(safar) sejauh dua marhalah (kira-kira 60 batu) atau lebih .
6. Tua yang tiada kuasa(daya) berpuasa.
7. Kandungan dalam perut bagi perempuan.
8. Ibu yang menyusukan anak kecil .

Ewan_sn
Darah Keluar Dari Tubuh

Soalan :
Apa hukumnya darah yang keluar dari tubuh samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain?



Jawapan oleh Ustaz zaharuddin :
Hukumnya tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215).

Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
Ewan_sn
Memasukkan Sesuatu Kedalam Rongga Tubuh


Soalan :
Adakah memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala boleh membatalkan puasa?



Jawapan oleh Ustaz Ustaz zaharuddin:

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.


abuafif
QUOTE(Edirossa @ Sep 14 2008, 02:01 PM) *
Memasukkan Sesuatu Kedalam Rongga Tubuh


Soalan :
Adakah memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala boleh membatalkan puasa?



Jawapan oleh Ustaz Ustaz zaharuddin:

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.


assalamualaikum....kalau sempat baca artikel mohd adib dalam ihya ramadhan surat khabar utusan malaysia isnin 22/9/2008. bagi komen ya.....tq
Ewan_sn
...Abuafit..terimakasih atas point yg anda sebutkan kat atas tu. Di bawah ini adalah petikan artikel yg saudara sebutkan itu. Ianya adalah nota yg diringkaskan dari satu huraian yg panjang. Setelah saya meneliti artikel tersebut saya dapati semuanya tidak bersalahan dengan pandangan dan pendapat Ulama Muktabar. Cuma pada pendapat saya ada setengah perkara yg diperbesar-besarkan oleh masyarakat kita tanpa satu rujukan yg kuat, contohnya jangan menangis nanti batal puasa, jgn korek hidung nanti batal puasa dan sebagainya yg kadang kelihatan menyusahkan dan menyempitkan hukum sedangkan hukum sebenarnya tidaklah begitu.

Nasihat saya, jgnlah terus ikut apa yg org tua2 kata tanpa memastikan samada ada nas, hadith sahih atau Ijmak ulamak. Wassalam...





Perkara yang tidak membatalkan puasa
Oleh Muhamad Adib Mohamed Saat
Utusan Malaysia

Percayakah anda ketika anda berpuasa anda masih boleh melakukan hal-hal berikut?

- Anda boleh mengorek hidung, telinga dan lain-lain rongga. Sungguh hairan apakah kaitannya mengorek hidung atau telinga dengan berpuasa. Tidak pastilah kalau ada di kalangan kita yang mengorek hidung atau telinga lalu terasa kenyang. Sesungguhnya tiada dalil yang mengatakan batalnya puasa kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan. Sekiranya tiada dalil, maka tiadalah hukum makruh atau lain-lain terhadapnya.

- Anda tidak perlu risau untuk berendam di dalam kolam sepanjang waktu di siang hari ketika Ramadan kerana ia tidak makruh dan tidak membatalkan puasa. Lihatlah riwayat hadis yang sahih ini. Seorang sahabat berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan”. (Riwayat Abu Daud: 2365, disahihkan oleh Sheikh Nasiruddin Al-Bani di dalam Sahih Sunan Abu Daud)

- Anda boleh makan walaupun waktu Imsak telah masuk iaitu lebih kurang 10 minit sebelum waktu subuh. Anda hanya perlu berhenti makan apabila diyakini telah masuk waktu subuh. Rasulullah bersabda: “Fajar ada dua jenis, fajar yang apabila ia tiba, haram untuk makan dan dibolehkan melakukan solat (fardu subuh) dan fajar yang apabila ia tiba, kamu tidak dibolehkan melakukan solat (solat subuh) dan dibolehkan makan.” (riwayat Al-Hakim dan Ibn Khuzaimah).

Allah berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-187 yang bermaksud: Makan dan minumlah kamu sehingga benang putih (waktu fajar) berpisah daripada benang hitam (malam).

Di dalam hadis sahih, Rasulullah bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Umm Maktum mengumandangkan azan.”

Ia sangat baik dan dituntut di dalam agama kita untuk makan di waktu akhir-akhir bersahur berdasarkan hadis yang berikut iaitu, Rasulullah SAW bersabda “Umat aku akan sentiasa kekal dalam keadaan bersederhana dan sempurna selagi mana dia mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan sahur.”

- Sekiranya anda telah meyakini bahawa telah masuk waktu subuh dan ada lagi makanan atau minuman yang tinggal di dalam mulut anda. Anda boleh menelan dan menghabiskannya tanpa perlu dikeluarkannya dari mulut anda.

- Anda tidak perlu melafazkan niat seperti Nawaitu Sauma Ghadin… kerana Nabi Muhammad S.A.W. tidak pernah mengajarkannya. Niat itu tempatnya di hati. Apabila anda bangun sahur, ia membuktikan anda sudah berniat untuk berpuasa. Jika tidak, buat apa anda hendak bangun bersahur.

- Tidak makruh untuk anda menggosok gigi pada siang hari sepanjang bulan Ramadan sama ada dengan kayu siwak atau dengan berus gigi.

- Anda harus makan dahulu makanan dan minuman sekiranya makanan telah dihidangkan sebelum pergi solat Maghrib. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat Maghrib dan janganlah kamu tergopoh- gapah ketika makan malam kamu.” (Muttafaq ‘Alaih, lihat Sahih al-Bukhari: 31).

- Anda boleh pergi ke klinik pergigian untuk mencabut gigi, menampal gigi, mencuci gigi dan sebagainya.

- Anda juga dibenarkan mandi dan berenang. Sekiranya anda telah menelan air secara tidak sengaja, maka ia tidak membatalkan puasa. Menurut kebanyakan ulama, berenang dibenarkan ketika berpuasa manakala menyelam tidak dibenarkan kerana ia akan menyebabkan air masuk ke dalam mulut dan hidung lalu sampai ke perut.

- Anda boleh menggunakan wangi-wangian, memakai kanta sentuh atau menggunakan ubat titik ke dalam mata.

- Anda dibenarkan untuk mengambil suntikan yang bermotifkan untuk rawatan dan perubatan. Bukannya suntikan yang mengambil peranan makanan dan minuman iaitu suntikan untuk memberikan tenaga dan kekuatan kepada anda.

- Anda boleh pergi untuk memeriksa dan menderma darah.

- Anda boleh makan dan minum dengan tidak sengaja. Ini berdasarkan suatu hadis yang bermaksud: Umat Islam tidak akan dipertanggungjawabkan atau diampunkan sekiranya melakukan perkara dalam keadaan tersilap, dalam kedaan terlupa dan dalam keadaan terpaksa. (Muttafaq ‘Alaih)

- Sekiranya anda tertidur di siang hari dan bermimpi yang menyebabkan keluar air mani, ia tidak membatalkan puasa.

- Sekiranya anda melakukan hubungan kelamin dan tidak mandi junub sebelum fajar menyinsing, puasa anda masih sah dan tidak batal dan anda dibenarkan untuk mandi junub selepas waktu fajar.

- Sekiranya haid anda tamat pada malam hari, anda boleh berpuasa keesokan harinya walaupun anda mandi junub selepas waktu fajar.

Dalam kedua-dua kes yang di atas, kewajipan mandi junub tetap kekal kepada mereka tetapi berpuasa tidak akan batal dan terkesan dengan ketidaksempatan untuk mandi junub sebelum waktu fajar.

- Anda boleh berciuman dengan suami atau isteri anda ketika berpuasa, tetapi anda perlu mengelakkannya supaya tidak membawa kepada benda yang diharamkan di dalam bulan Ramadan iaitu hubungan kelamin.

Maklumat di atas disebut oleh para ulama seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradawi dalam Fiqh as-Siyam, Ibn Hazm, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Ibn Uthaymin dan lain-lain.

MUHAMAD ADIB MOHAMED SAAT dari Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Ewan_sn
Amalan sunnah sempena Aidilfitri

Firman Allah S.W.T:"Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu." - Surah al-Maaidah: 3.


Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.


Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa). Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambutketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.


• Bertakbir.


Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.

Firman Allah S.W.T:


"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah:185.



Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:



"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini." – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32


Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.


• Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.


Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


• Meneruskan qiamullail.



Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.


• Mandi pada pagi hari raya.


Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab:"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri." - Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.


• Makan sebelum solat Aidilfitri.


Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:



"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini." - Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.



Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:



“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.



Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.


• Memakai pakaian yang indah.


Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:



"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.



Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:



"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan." – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.



Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w:



"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina." - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.



Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.


• Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.


Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a:



"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.



Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.


Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.


Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata:



"Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.


Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:


"Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya." - Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.


• Tempat perlaksanaan solat hari raya.


Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:



"Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.



Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:



"Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka." – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.


• Mengerjakan Solat Aidilfitri


Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:



"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.



Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:



"Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.



Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:



"Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.


• Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri


Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:



"Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati." – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.



Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:



"Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.


• Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal


Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.



Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.


PENUTUP


Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.


Sumber: http://al-futhuhat.blogspot.com
Ewan_sn
Sembilan waktu paling sesuai puasa sunat

Soalan :

SAYA bersyukur kerana dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan dan mahu berpuasa enam hari ketika Syawal. Saya kini bersemangat untuk menjadikan puasa sebagai amalan sepanjang tahun. Bolehkah saya melakukan begitu dan bilakah umat Islam digalakkan berpuasa selain Ramadan?

Adel Iskandar Hakim,
Mergong, Alor Star.




Jawapan oleh Jakim :

Antara waktu digalakkan berpuasa sunat ialah;

- Berpuasa satu hari dan berbuka satu hari. Ia paling afdal kerana Rasulullah SAW bersabda: "Puasa yang paling afdal ialah puasa Nabi Daud. Dia berpuasa satu hari dan berbuka puasa satu hari. Tidak ada yang lebih afdal daripada itu." (Riwayat Bukhari Muslim)

- Berpuasa tiga hari setiap bulan dan lebih afdal berpuasa tiga hari bulan terang (hari ke-13, 14 dan 15). Pahala berpuasa pada hari-hari berkenaan ialah sama seperti berpuasa sepanjang masa dengan gandaan pahala.

- Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis bagi setiap minggu.

- Puasa pada enam hari bulan Syawal.

- Puasa hari Arafah. Iaitu hari yang kesembilan bulan Zulhijjah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi seseorang yang sedang mengerjakan ibadat haji tidak disunatkan berpuasa pada hari itu sebaliknya disunatkan berbuka puasa walaupun dia kuat. Ini bertujuan untuk terus kuat berdoa dalam mengerjakan ibadah wajib berkenaan.


- Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji dan orang yang tidak mengerjakannya.


- Puasa Tasi' dan Asyura (hari ke-9 dan 10) dan disunatkan menghimpun kedua-duanya.


- Puasa dalam bulan-bulan haram (iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab). Sebaik-baik bulan haram selepas bulan Ramadhan ialah Muharam, kemudian bulan Rejab, kemudian bulan-bulan haram yang lain, akhirnya barulah Syaaban.


- Puasa dalam bulan Syaaban. Cuma ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa pada 15 terakhir bulan Syaaban dengan hikmahnya untuk membuat persediaan tubuh badan bagi berpuasa sebulan Ramadhan dan bagi meningkatkan perasaan hati agar berasa ternanti-nanti kehadiran Ramadhan dengan penuh pengharapan dan kegembiraan.
NorhudaMohammed
apa yang perlu saya buat kalau saya dah niat untuk puasa ganti, tapi tiba-tiba saya membatalkan puasa itu dengan sengaja kerana tak larat atau sebagainya?
adakah saya perlu menggantikan puasa itu dengan 2 hari puasa yang sama? unsure.gif
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.