Televisyen digital bertapak di Malaysia sejak pertengahan 1990-an dengan perkhidmatan Astro, kini disinambungi oleh kemunculan perkhidmatan TV berbayar yang baru pada dekad 2000-an, serta pelaksanaan pendigitalan TV terestrial yang dijangka siap menjelang pertengahan 2010-an. Perkhidmatan televisyen digital disalurkan melalui pelbagai piawaian mengikut cara penyampaian, termasuklah Penyiaran Video Digital (DVB) (DVB-S untuk televisyen satelit dan DVB-T untuk televisyen terestrial) dan Televisyen Protokol Internet (IPTV).
Kaedah penyiaran DTV
Televisyen satelit
Era televisyen digital di Malaysia bermula dengan pengenalan perkhidmatan televisyen satelit Astro pada tahun 1996. Astro kini memancarkan lebih kurang 80 saluran televisyen langganan tempatan dan antarabangsa, mematuhi piawaian DVB-S dan memancar video dalam format MPEG-2 melalui jalur Ku dalam spektrum elektromagnet, menggunakan transponder sistem satelit MEASAT. Pemancaran isyarat Astro mudah terjejas oleh hujan, akibatnya menyebabkan gangguan dalam penerimaan siaran.
Televisyen terestrial digital
Siaran percuma
Pada tahun 2005, Kementerian Penerangan mengumumkan rancangan pendigitalan siaran televisyen percuma seluruh negara yang diterajui Radio Televisyen Malaysia. Siaran percubaan dijalankan melibatkan seribu rumah tangga di Lembah Klang mulai September 2006 hingga Februari 2007. Menurut Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Seri Chia Kwang Chye, percubaan ini menerima maklum balas yang amat memberangsangkan, iaitu "lebih 60 peratus menyatakan mutu isyarat adalah dari bagus ke amat bagus, lebih 88 peratus berkata mutu gambar bertambah baik, sementera 70 peratus berkata mutu bunyi lebih bagus."
RTM telah menyediakan sekurang-kurangnya tiga saluran baru (RTMi, Muzik Aktif dan Arena) di samping dua saluran sedia ada (RTM1 dan RTM2) melalui satu multipleks digital yang beroperasi di saluran 44 jalur UHF bermodulasi 64QAM. Sungguhpun siaran percubaan lama habis, namun saluran-saluran digital tersebut dikatakan masih disiarkan dalam bentuk ujian, menunggu pelancaran rasmi seawal tahun 2008.
Setakat ini (Jun 2008), Media Prima Berhad, konglomrat media terbesar negara yang memiliki TV3, ntv7, 8TV dan TV9, masih belum mengumumkan sebarang perancangan berkenaan televisyen digital.
Malaysia dan seluruh negara ASEAN memilih DVB-T sebagai piawaian penyiaran televisyen digital, dan dijangka melupuskan siaran analog sepenuhnya menjelang tahun 2015. Pada bulan Jun 2008, para hadirin Mesyuarat Penyiaran Digital ASEAN ke-6 dari tujuh buah negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia) bersetuju menetapkan spesifikasi kotak atas set TV digital untuk kegunaan penduduk anggota-anggota ASEAN, serta mewujudkan Pusat HD ASEAN yang bertujuan menyediakan latihan pengendalian kandungan HDTV bagi penyiar negara anggota.
Penutupan siaran analog
Siaran TV analog akan ditutup secara berperingkat dan dijangka siap pada tahun 2015 seperti yang disyorkan oleh ASEAN. Pelan peralihan televisyen digital dibahagi kepada tiga fasa:
Fasa I (2007-2015)
TV analog dan digital wujud bersama
TV analog ditutup secara berperingkat
Perkhidmatan utama lain dikosongkan (radar dan LMS)
Fasa II (2016-2020)
Tiada perkhidmatan TV analog
Perkhidmatan DTT di saluran 56 ke atas dikosongkan
LMS dalam jalur 477MHz hingga 478MHz dikosongkan
Phase III (2020-)
100% perkhidmatan DTT menggunakan saluran 5 hingga 12 dan 21 hingga 54
Televisyen terestrial berbayar
U Television (dahulunya MiTV) bakal melancarkan perkhidmatan penyiaran video dalam format H.264/MPEG-4 AVC mengikut piawaian DVB-T agar meningkatkan mutu gambar dan kecekapan penggunaan lebar jalur frekuensi, setelah menemui kebuntuan ketika melancarkan perkhidmatan IPTV melalui UHF sebelum ini.
Televisyen jalur lebar dan IPTV
Fine TV merupakan perkhidmatan video atas permintaan jalur lebar terulung di Malaysia yang menawarkan rancangan televisyen yan boleh ditonton bila-bila masa tanpa jadual yang ditetapkan dalam 19 saluran pelbagai genre.
DETV, sebuah perkhidmatan TV baru milik REDtone, menyediakan perkhidmatan saluran dan video atas permintaan menggunakan teknologi IPTV, setakat ini (Jun 2008) menumpu kepada penonton kaum Cina di Malaysia.
TM dijangka melancarkan perkhidmatan IPTV pada suku kedua tahun 2009, tetapi kini menjalani siaran percubaan dengan 1,000 rumah tangga terpilih di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kulim, Kedah. Link: TM ipTV
Terdapat beberapa perkhidmatan penstriman video yang boleh ditonton melalui Internet jalur lebar dalam komputer, sperti WorldIP.TV dan Yoonic.
Televisyen mudah alih
Televisyen mudah alih diperkenalkan di Malaysia melalui perkhidmatan penstriman video oleh syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan DiGi, kepada pengguna telefon bimbit canggih berlengkapkan teknologi 3G atau seumpamanya. Maxis TV kini menawarkan lebih 20 saluran kepada para pelanggan Maxis 3G yang memiliki telefon bimbit yang serasi. Namun begitu, Maxis dijangka akan melancarkan perkhidmatan TV secara penyiaran secara piawaian DVB-H pada masa akan datang.
U Mobile juga menyediakan perkhidmatan TV mudah alih secara penyiaran kepada pengguna telefon bimbit 3G terpilih, mematuhi piawaian DVB-H.
HDTV
RTM dijangka melaksanakan ujian penyiaran televisyen definisi tinggi (HDTV) menjelang tahun 2009. Setakat ini (Jun 2008), tiada berita mengenai perancangan HDTV oleh Astro dan Media Prima.
Format dan lebar jalur
Dalam amalan kini, televisyen definisi tinggi (HDTV) yang biasanya disalurkan melalui DTV, memakai satu daripada dua format berikut: 1280 × 720 piksel dalam mod imbasan progresif (720p) atau 1920 × 1080 piksel dalam mod berjalin (1080i). Kedua-duanya menggunakan nisbah aspek 16:9. (Sesetengah televisyen mampu menerima peleraian HD 1920 × 1080 pada kadar gambar imbasan progresif 60 Hz — iaitu 1080p60 — namun format ini belum menjadi piawai, lebih-lebih lagi tiada penyiar yang mampu memancarkan isyarat ini ke udara pada mutu yang memuaskan lagi.)
Secara perbandingan, TV definisi biasa boleh memakai salah satu daripada pelbagai format yang mengambil bentuk pelbagai nisbah aspek, bergantung pada teknologi penyiaran yang digunakan di negara. Bagi siaran nisbah aspek 4:3, format 640 × 480 dipakai di negara-negara NTSC, sementara 720 × 576 (diubah kepada 768 × 576) pula di negara-negara PAL. Untuk siaran 16:9 pula, format 704 × 480 (diubah kepada 848 × 480) digunakan di negara-negara NTSC, sementara format 720 × 576 (diubah kepada 1024 × 576) digunakan di negara-negara PAL. Namun begitu, para penyiar boleh mengurangkan peleraian ini untuk menjimat lebar jalur (contoh, kebanyakan saluran DVB-T di United Kingdom menggunakan peleraian mengufuk 544 atau 704 segaris). Mutu gambar yang didapati agak memuaskan kerana penjalinan—peleraian mencancang efektif dikurangkan menjadi 288 garis.
Setiap saluran DTV dibenarkan disiarkan pada kadar data sehingga 19 megabit sesaat, atau 2.375 megabait sesaat. Bagaimanapun, penyiar tidak perlu menggunakan seluruh lebar jalur untuk cuma satu saluran penyiaran. Sebaliknya, siaran boleh dibahagikan merentangi beberapa subsaluran video yang berbeza-beza mutu dan kadar mampatannya, termasuk perkhidmatan siaran data bukan video yang membenarkan strim data lebar jalur tinggi sehala ke komputer.
Penyiar boleh memilih untuk menggunakan isyarat digital definisi biasa dan bukannya HDTV, kerana kelaziman kini membolehkan lebar jalur saluran DTV (atau "multipleks") dibahagikan menjadi pelbagai subsaluran, menyediakan pelbagai suapan rancangan yang berlainan sekali pada saluran yang sama. Kebolehan menyediakan sama ada satu suapan HDTV tunggal atau pelbagai suapan resolusi lebih rendah ini selalu digelar sebagai pengagihan "bajet bit" atau multicasting. Kadang-kadang ini boleh disusun secara automatik, menggunakan pemultipleks statistik (atau "stat-mux"). Dengan adanya beberapa pelaksanaan, peleraian imej mungkin kurang terbatas oleh lebar jalur; contohnya dalam DVB-T, penyiar boleh memilih antara skema-skema modulasi yang berbeza, memberikan pilihan untuk mengurangkan kadar bit pemancaran dan memudahkan penerimaan untuk penonton yang lebih jauh atau bergerak-gerak.
Penerimaan
Terdapat sebilangan kaedah berbeza untuk menerima televisyen digital. Salah satu kaedah paling lama untuk menerima DTV (dan TV secara amnya) ialah penggunaan antena. Kaedah ini dipanggil televisyen terestrial digital (DTT). Dengan DTT, pilihan penonton terhad kepada apa-apa saluran yang dipetik antena itu, dan mutu isyarat pun berbeza-beza.
Kaedah-kaedah lain turut direka untuk menerima TV digital, termasuk kabel digital dan satelit digital. Di sesetengah negara di mana pancaran isyarat TV biasanya dicapai oleh gelombang mikro, MMDS digital digunakan. Piawaian-piawaia laun, seperti DMB dan DVB-H direka untuk membolehkan peranti mudah alih seperti telefon bimbit menerima isyarat TV. Satu lagi kaedah ialah IPTV, iaitu menerima TV melalui Protokol Internet dengan mutu perkhidmatan (QoS) yang terjamin. Akhirnya, satu lagi alternatif ialah menerima isyarat TV melalui prasarana Internet terbuka, iaitu TV Internet.
Kini, tidak kira bagaimana DTV diterima, kebanyakan penonton akan menerimanya melalui sejenis set-top box yang menyahkod isyarat digital kepada isyarat yang difahami televisyen — iaitu televisyen berfungsi sebagai monitor semata-mata. Walaupun begitu, makin banyak set TV dipasang penerima bersepadu yang dipanggil iDTV.
Sesetengah isyarat disertakan penyulitan dan menetapkan syarat penggunaan (seperti "tidak boleh dirakam" atau "tidak boleh ditonton pada paparan yang jarak pepenjurunya melebihi 1 m") disokong kuasa undang-undang bawah Perjanjian Hakcipta WIPO dan perundangan negara yang melaksanakannya, seperti Akta Hakcipta Alaf Digital di Amerika Syarikat. Capaian ke saluran yang disulitkan boleh dikawal oleh kad pintar yang boleh tanggal, contohnya melalui piawaian Antaramuka Umum (DVB-CI) untuk Eropah dan melalui Titik Penggunaan (Point Of Deployment, POD) untuk IS atau dinamakan CableCard.
Interaksi
Di antara penonton TV dan sistem TV berlakunya interaksi yang boleh difahami dalam cara berbeza, bergantung pada bahagian sistem DTV yang mana terlibat; mungkin itulah interaksi dengan STB sahaja (untuk beralih ke saluran TV lain atau melayar EPG - Electronic Programme Guide).
Sistem-sistem DTV moden boleh menyediakan interaksi antara pengguna akhir dan penyiar melalui penggunaan laluan balik. Selain kabel sepaksi dan gentian optik yang boleh dua hala, modem dialup, sambungan Internet, atau apa-apa kaedah lain biasanya digunakan untuk laluan balik dengan rangkaian satu hala seperti siaran satelit dan antena.
Selain tidak memerlukan laluan balik yang berasingan, kabel juga menikmati saluran komunikasi yang disetempatkan pada kawasan perumahan dan bukan bandar (terestrial) atau kawasan yang lebih besar (satelit). Ini menyediakan cukup lebar jalur yang boleh diubahsuai untuk membolehkan video atas permintaan sebaiknya.