Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Kemana Hala Tuju 2 Juta Pengundi Baru?
Mesra.net Forum > Politics > Politik Nasional
Ewan_sn
Parti politik sudah mula rasai impak 2 juta pemilih baru
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu bekerja keras dalam usaha menarik golongan pengundi muda termasuk dua juta pengundi baru menjelang pilihan raya ke-13.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, tambahan sejumlah bakal pemilih itu akan memberi kesan besar ke atas keputusan pilihan raya umum ke-13.


"Jika kita tengok keputusan pilihan raya umum baru-baru ini, sememangnya undi golongan muda akan memberi kesan yang besar.


"Oleh itu, BN perlu bekerja keras dan mengambil iktibar daripada pilihan raya umum lalu," katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan muka depan The Star dan mStar Online semalam berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa dua juta orang golongan muda yang berumur bawah 21 tahun berpotensi tersenarai dalam daftar pemilih menjelang pilihan raya ke-13.


Suruhanjaya itu menjangkakan lebih ramai akan mendaftar sebagai pemilih berdasarkan pada senario politik semasa.


Ditanya kemungkinan parti pembangkang berpeluang mengambil alih pentadbiran negara melalui pilihan raya akan datang, Nazri berkata , ia tidak mustahil jika tidak membetulkan kekurangan-kekurangan yang wujud.


Justeru beliau berkata, BN perlu melihat aspirasi golongan muda yang tidak mahu melihat sesuatu yang tidak betul berlaku dalam kerajaan.


"Kita tengok aspirasi mereka. Mereka tidak mahu melihat kepincangan termasuk rasuah berlaku," katanya.


Nazri berkata, golongan muda juga cenderung mendapatkan maklumat berhubung isu-isu yang berlaku melalui internet.


"Kita bercakap tentang pilihan raya. Oleh itu, setiap ahli Parlimen BN kini perlu memainkan peranan mereka.


"Kalau saya di Padang Rengas, pengundi di sana hanya 18,000 orang... jadi tak sukar bagi saya untuk menghubungi mereka tetapi kalau (ahli Parlimen) di bandar, mereka perlulah gunakan internet juga untuk mendekati golongan muda ini," katanya.


KOMEN PEMERHATI POLITIK

Dalam pada itu, pemerhati politik melihat pola pemilih baru menjelang pilihan raya umum ke-13 akan membawa perubahan besar kepada senario politik negara dengan parti-parti politik mempunyai cabaran untuk menarik sokongan golongan muda ini.


Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, parti-parti politik kini perlu memainkan peranan mereka dalam menarik minat dua juta golongan yang akan disasarkan ini untuk aktif dalam politik.


“Mendaftar sebagai pengundi dan aktif dalam politik adalah dua perkara yang berbeza. Justeru parti-parti politik kini perlu mendekati golongan ini supaya aktif dalam politik kerana dari situlah, komitmen mereka untuk keluar mengundi akan timbul.


“Itulah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh parti-parti politik negara ini baik kerajaan atau pun pembangkang,” katanya.


Dalam pada itu, pensyarah sains politik UKM, Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman pula berpendapat perkembangan politik semasa telah mempengaruhi selera pengundi-pegundi muda ini dalam membuat keputusan parti pilihan mereka.


“Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut.


“Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA jadi ini dilihat sebagai satu perubahan daripada aspek pemikiran mereka,” katanya.


Ahmad Nizammuddin berkata, faktor ini dipengaruhi oleh kesedaran politik yang tinggi di samping gesaan daripada rakan-rakan daripada parti politik pembangkang,” katanya.


Jelas beliau, golongan pengundi muda ini merupakan golongan yang berani memberi peluang kepada sesuatu yang baru.


“Sikap berani mencuba akan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah menjelang PRU ke-13,” katanya.


Sementara itu, pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, cara golonngan muda mengundi pada pilihan raya akan datang masa hadapan akan dipengaruhi oleh banyak faktor termasuk pendedahan kepada politik dan sentimen semasa yang mempengaruhi undi mereka.


“Kalau lihat pengundi muda, mereka berfikiran kritikal kesan daripada revolusi internet kerana kebanyakan mereka mendapatkan maklumat internet termausk daripada blog.


“Walaupun mungkin ada yang tidak benar (kandungan internet) tetapi mereka cenderung untuk mempercayainya.


“Ini disebabkan mereka tidak lagi menjadikan akhbar dan televisyen sebagai sumber mendapatkan maklumat kerana menganggap media arus perdana ini sudah kurang kredibilitinya dalam menyampaikan berita,” katanya.


Selain itu katanya, cara golongan muda ini berkomunikasi antara satu sama lain juga berbeza termasuk melalui blog, e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS).


“Ini semua memberi cabaran kepada parti-parti politik terutama parti pemerintah yang perlu terus mempertahankan kedudukan mereka.


“Mereka perlu memikirkan jalan untuk mempengaruhi golongan pengundi baru ini dengan cara baru kerana wujud jurang generasi antara golongan muda dan tua melalui cara mereka berfikir,” katanya.


Azeem berkata, terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi keputusan pilihan raya akan adatang termasuk kedudukan ekonomi, harga barang dan kadar jenayah dalam negara.


“Kalau mereka puas hati dengan keadaan pada masa itu, mereka akan undi parti pemerintah. Kalau tidak, mereka akan mengundi pembangkang,” katanya.



Ewan_sn
Pemimpin Umno: 'Jangan terlepas pengundi muda baru ke tangan pembangkang'
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Umno perlu merangka strategi awal bagi menarik minat generasi muda menyertai parti itu jika tidak mahu kira-kira dua juta pengundi muda yang dijangkakan layak menjadi pemilih baru 'terlepas' ke pihak pembangkang.


Perancangan dan pendekatan terkini harus diaplikasikan supaya golongan berkenaan tidak dilihat disisihkan daripada Umno.


Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata Umno perlu mengkaji dan membuat andaian mengenai mengapa golongan muda ini mempunyai minat untuk mendaftar sebagai pemilih.


"Kita pasti ada sesuatu yang mendorong mereka untuk mendaftar dan ini sudah tentu disebabkan kesedaran politik yang terlahir daripada golongan muda ini," katanya kepada mStar Online.


Tambah beliau Pemuda Umno sendiri akan memainkan peranannya bagi mendekati generasi muda hari ini dengan menggunakan teknologi terkini.


"Pemuda Umno kena guna pakai kaedah terkini seperti teknologi maklumat untuk mendampingi golongan belia.


"Pendekatan ini bagi mendapatkan sokongan golongan muda kepada parti dan seterusnya bagi menzahirkan sokongan mereka itu melalui undian mereka," katanya.


Namun jelasnya pada peringkat awal Umno perlu menunjukkan bukti bahawa pelbagai langkah dan pendekatan sedang diatur secara serius bagi mereaslisasikan proses peremajaan Umno seperti yang disasarkan.


Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Syed Hamid Albar menyarankan supaya Umno memahami minat golongan muda agar mereka sentiasa merasakan Umno sebagai sebuah parti yang mudah didekati.


"Mula-mula kita perlu tahu kehendak dan kemahuan mereka agar mereka sedar bahawa Umno sentiasa mengikuti perkembangan semasa.


"Inilah proses awal peremajaan Umno kerana Umno perlu mendapat sentuhan golongan-golongan muda," katanya.


Menurut beliau masyarakat muda merupakan aset terpenting kepada parti yang perlu digilap dan diberi perhatian yang sewajarnya.


Katanya kepimpinan Umno hari ini perlu menunjukkan contah dan teladan terbaik bagi memastikan aspirasi golongan muda tidak tersasar dari matlamat mereka untuk menyertai parti itu.


"Pertamanya kita perlu tentukan imej iaitu sebagai sebuah parti yang kekal relevan sepanjang zaman.


"Keduanya Umno mestilah menentukan kewujudannya sebagai parti yang sentiasa bergerak kearah perubahan yang terbaik," katanya.


Syed Hamid menambah Umno juga harus mempamerkan kredibiliti dan integritinya dengan memberi peluang kepada golongan muda untuk mengambil bahagian dalam parti itu.


Jelas beliau lagi, bagi menghadapi kira-kira dua juta bakal pengundi muda pada pilihanraya ke-13 nanti, Umno tidak boleh angkuh dalam merangka strategi menghadapinya.


"Kita perlu mengamalkan sikap keterbukaan dan sedia menerima kritikan dan perubahan dengan penglibatan generasi muda," katanya.



Ewan_sn
MP BN yakin Pakatan Rakyat memerintah Malaysia pada Pilihan Raya Umum akan datang
Jumaat, 14 November 2008
Oleh MASDAR R ARIFUDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen (MP) Barisan Nasional (BN) berkeyakinan Pakatan Rakyat (PR) mampu memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

MP BN kawasan Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tidak mustahil PR akan akan mentadbir Malaysia pada PRU 13 jika BN tidak mendengar suara golongan muda pada hari ini.

Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, PRU 12 jelas membuktikan pengundi muda memberi impak besar terhadap keputusan pilihanraya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Strategi & Hubungan Antarabangsa, Angkatan Muda KeADILan (AMK), Yusmadi Yusoff yang dihubungi Suara KeADILan di sini berkata, pandangan yang diutarakan oleh Nazri itu merupakan suatu pandangan yang ikhlas dari seorang menteri yang cukup berpengalaman.

Yusmadi yang juga MP Balik Pulau, berkata, Nazri sebagai seorang menteri yang arif berkaitan kepimpinan sudah pastinya mengetahui realiti sebenar dalam negara ketika ini.

Menurut Yusmadi, golongan muda adalah sekumpulan manusia yang bersifat dinamik, keratif dan tangkas dalam memproses maklumat semasa khususnya isu-isu yang berkaitan kepentingan masyarkat dan negara.

Yusmadi yang juga seorang peguam memberi contoh bagaimana blog Anwar Ibrahim menerima kunjungan yang konsisten dari golongan muda.

Beliau yang baru dilantik oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai Pengerusi Masyarakat Madani turut menjelaskan Parti KeADILan sentiasa membuka peluang kepada setiap golongan muda untuk bergerak dalam KeADILan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan bahawa dua juta orang golongan muda yang berumur bawah 21 tahun berpotensi tersenarai dalam daftar pemilih menjelang pilihan raya ke-13.
This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2017 Invision Power Services, Inc.