Help - Search - Members - Calendar
Full Version: Penternakan Ikan Air Tawar (selain Ikan Keli)
Mesra.net Forum > Business & Economies > Pertanian & Perikanan
Ewan_sn
Sangkar ikan air tawar lubuk duit
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN



ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan dibela ketika beratnya mencapai antara 500 dan 700 gram.

--------------------------------------------------------------------------------



Menyusuri Sungai Pahang di daerah Jerantut, Pahang, tentu mata tidak lepas memandang sangkar-sangkar ikan air tawar yang meriah menghiasi tebing sungai.

Industri ikan sangkar sebenarnya memberikan pulangan lumayan kepada penternak jika mereka mengusahakannya secara bersungguh-sungguh.

Antara penternak ikan air tawar yang berjaya di daerah Jerantut, Isharum Bujang, 47, yang telah melibatkan diri dalam industri ternakan ikan sangkar seperti patin dan tilapia sejak 10 tahun lalu.

Bermula dengan modal RM10,000, bekas tentera ini membina dua buah sangkar berukuran 10 kaki x 12 kaki x 5 kaki bagi ikan patin dan tilapia dengan bekalan benih diambil daripada pembekal di Rawang, Selangor.

"Biarpun nampak remeh tetapi sebuah sangkar ikan menelan kos antara RM3,500 hingga RM4,000 bergantung kepada mutu dan upah menarik sangkar ke sungai dan tidak termasuk kos anak benih.

"Harga anak benih ikan patin bersaiz empat inci berharga antara 50 hingga 70 sen seekor berbanding ikan tilapia 40 hingga 50 sen pada saiz yang sama,'' katanya yang tidak pernah menerima sebarang bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau geran daripada agensi kerajaan atau swasta.

Terdapat 80 sangkar ikan yang dipunyai oleh lima individu berlainan diletakkan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut.

Isharum berkata, ikan patin dan tilapia boleh dijual selepas lima atau enam bulan ketika beratnya antara 500 hingga 700 gram.

"Permintaan ikan dengan berat lebih kurang 600 gram amat menggalakkan," katanya.

Biasanya satu sangkar yang menempatkan antara 1,000 hingga 1,200 ekor benih ikan boleh mengeluarkan sehingga satu tan ikan bagi satu musim.

"Bagaimanapun bukan semua benih ikan yang dilepaskan akan hidup dan membesar kerana sebahagiannya akan mati," jelas beliau.

Mengenai pasaran, Isharum berkata, permintaan ikan patin dan tilapia sangkar amat menggalakkan terutama di pasar tani, pemborong dan pasar besar Jerantut.

Satu kilogram ikan patin dan tilapia biasanya dijual secara runcit dengan harga RM13 hingga RM14 sekilogram.

"Setakat ini kami tidak dapat memasarkan hasil ikan ke kawasan lain di Pahang kerana hasil yang dikeluarkan masih belum mencukupi,'' kata Isharum yang berasal dari Jerantut.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan air tawar, Zanuari Abd. Halim, 42, mula menternak dengan empat sangkar ikan.

Anak jati Jerantut yang menternak ikan patin, tilapia dan beberapa jenis ikan air tawar lain mengakui permintaan yang diterima melebihi bekalan.

"Kami tidak dapat mengeluarkan ikan dengan banyak kerana kami menghadapi masalah dengan bekalan benih dan harga makanan ikan yang semakin mahal.

"Benih ikan yang dibeli kadang-kala kurang berkualiti walaupun dibeli di tempat yang sama dan benih yang kurang bermutu akan menyebabkan ikan lambat membesar untuk dipasarkan," katanya berusaha mencari benih ikan yang berkualiti.

Kata Zanuari, selain itu ikan sangkar juga sering terdedah kepada risiko kematian akibat cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat, banjir kilat serta masalah berkaitan dengan pencemaran air.

Sementara itu seorang lagi penternak ikan sangkar, Mohamad Zuhran Mat Ali, 36, pula menjadikan ternakan ikan sangkar sebagai pendapatan sampingan sejak enam tahun lalu.

Beliau yang bekerja sebagai kontraktor telekomunikasi kini mempunyai 30 buah sangkar berkata, harga makanan ikan yang semakin meningkat menjadikan penternak semakin tersepit.

"Biasanya bagi satu pusingan ternakan ikan sangkar memerlukan RM3,000 bagi satu sangkar bagi satu musim," katanya yang bermula hanya dengan sebuah sangkar ikan patin.

Zuhran berkata, bagi satu pusingan ternakan ikan memerlukan kos makanan sehingga RM3,000 dalam bentuk palet bagi tiga peringkat dalam proses pembesaran anak ikan sehingga dewasa
Ewan_sn
Usahawan akuakultur intai sinar kejayaan
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN



Ternakan tilapia antara projek akuakultur yang dijalankan oleh Mohd. nazri Alaudin.

--------------------------------------------------------------------------------



Memandangkan begitu ramai penternak yang mengusahakan ternakan ikan keli, Mohd. Nazri Alauddin, 30 mula mempelbagaikan projek ternakan ikan air akuakulturnya.

Aktiviti yang dijalankan oleh ayahnya sebelum ini, kini diwariskan kepadanya.

"Saya akan mendalami bidang akuakultur ini dan tidak akan menghampakan impian ayah," kata Mohd. Nazri semasa ditemui di ladang ternakan ikannya di Melaka Tropical Fruit Farm, Sungai Udang, Melaka.

Dia merupakan pengusaha projek ternakan ikan ketiga yang ditempatkan di sana selepas dua orang pengusaha tidak dapat menepati kriteria yang ditetapkan oleh syarikat subsidiari Jabatan Pertanian Melaka iaitu Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd.

Mohd. Nazri merupakan peserta inkubator Jabatan Perikanan yang mengikuti pelbagai kursus anjuran jabatan berkenaan di Batu Berendam, Melaka selama tiga tahun.

"Saya mengikuti pelbagai jenis kursus selama tiga tahun termasuk pembenihan, penjagaan dan ternakan pelbagai ikan air tawar sehingga kepada membuat palet makanan ikan dan industri hiliran berkaitan ikan.

"Kursus berkenaan juga meliputi ikan puyu, keli, tilapia dan pelbagai ikan hiasan," katanya yang merancang untuk mengeluarkan makanan ternakannya sendiri dalam sedikit masa lagi.

Ditanya mengapa bidang akuakultur menjadi pilihan, Mohd. Nazri berkata, akuakultur merupakan bidang yang luas dan meliputi bidang pembenihan, ternakan dan peralatan.

"Sebagai penternak kita boleh merancang dan membangunkan arah perniagaan mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Mohd. Nazri yang mempunyai lapan orang pekerja memberitahu beliau tidak menghadapi masalah pasaran malah tidak cukup memenuhi permintaan.

Bagaimanapun dia berupaya mengeluarkan sehingga lima tan ikan tilapia sebulan, dan hanya 300 kilogram (kg) ikan puyu sebulan kerana tempat yang terhad.

Bercerita mengenai penternakan ikan, Nazri berkata, ikan tilapia biasanya menjalankan persenyawaan secara semula jadi.

"Ikan betina akan bertelur dan yang jantan akan mensenyawakan telur berkenaan lalu dieram oleh betina di dalam mulut.

"Bagi meningkatkan kadar anak ikan yang hidup, teknik aruhan anak benih ikan digunakan bagi memberikan persekitaran yang seakan-akan sama dengan mulut induk," katanya.

Dalam masa tiga hari, anak ikan akan memakan kuning telur sebelum diberikan hormon untuk membesar sebagai ikan jantan.

Ikan tilapia jantan lebih cepat membesar berbanding ikan betina dan ini membolehkan ikan dipasarkan dalam masa empat hingga lima bulan.

"Hanya ikan tilapia jantan saja diternak untuk pasaran, manakala betina dipelihara untuk dijadikan induk," katanya.

Bagi satu tangki berkapasiti tiga tan air, ia boleh memuatkan sehingga 3,000 anak benih ikan keli pada satu-satu masa.

Sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti, Nazri menggunakan teknik mikroorganisme berkesan (EM) bagi mengurangkan bau busuk daripada tangki-tangki ikannya dan menyalurkan sisa air ternakan ikan ke petak tanaman sayur.

"Saya merancang untuk menanam sayur menggunakan sisa air ternakan ikan sebagai baja dan ini boleh digunakan sebagai model bagi penternak ikan lain," katanya.

Bagi memastikan ternakan ikan mencapai saiz dan berat yang dikehendaki, penggredan perlu dilakukan setiap dua minggu.

Bagi mengatasi masalah lambakan ikan keli pula, Mohd Nazri menjalankan perusahaan industri hiliran bagi produk perikanan seperti serunding dan ikan salai.

Manakala ikan puyu pula hanya perlu disuntik hormon mengikut berat badan bagi menggalakkan pengeluaran telur.

Bagi ikan puyu, telur biasa ditetaskan sama ada di dalam kolam tanah dan tangki gentian kaca.

Mempunyai kolam tanah, sangkar dalam tasik, kanvas, kolam simen dan kolam gentian kaca membolehkan beliau menghasilkan sehingga 200,000 benih keli, 70,000 hingga mega_shok.gif,000 tilapia dan 40,000 puyu.

Menyentuh mengenai pasaran, Mohd Nazri berkata, permintaan adalah melebihi pasaran dan beliau dalam perancangan membuka pusat pengumpulan atau hab bagi ikan air tawar di Jabatan Perikanan, Batu Berendam.

"Dengan pembukaan pusat berkenaan bukan saja boleh membantu pembeli mendapatkan ikan segar dan produk hiliran tetapi peralatan berkenaan ternakan ikan serta khidmat nasihat.

"Selain itu penternak juga boleh menjual produk mereka sama ada benih ikan, ikan segar atau produk hiliran berasaskan ikan di sini,'' katanya.

Mohd. Nazri berkata, ini dapat mengatasi masalah pasaran yang dihadapi oleh penternak kecil-kecilan.

Merealisasikan saranan kerajaan pertanian adalah perniagaan, beliau juga merancang untuk membuka restoran ikan air tawar bagi mendidik dan mendedahkan orang ramai dengan ikan air tawar.
Ewan_sn
Evolusi industri perikanan



Penyelidikan dalam pembiakbakaan ikan secara aruhan menjadi trend yang membantu melonjakkan industri akuakultur.

--------------------------------------------------------------------------------



Akitiviti Perikanan negara bermula sejak sekian lama dan Jabatan Perikanan yang diasaskan pada 1894 menjadi peneraju kepada aktiviti tersebut sehinggalah sekarang.

Dengan jumlah nelayan kira-kira 89,000 dan 20, 000 penternak akuakultur, aktiviti perikanan rancak berkembang dan sebahagiannya didorong oleh adanya teknologi yang mula diperkenalkan dengan hebat di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga (1991-2010)

Berikut beberapa perkembangan sejarah aktiviti perikanan sehinggalah kepada pembabitan tenaga pakar dalam penyelidikan perikanan termasuk yang terbaru iaitu teknologi pembekuan sperma ikan.

l1894-Aktiviti Perikanan diusahakan secara kecil-kecilan sebagai sara diri bagi mereka yang mendiami kawasan pantai dan sungai

l1920-an : Ternakan ikan kap cina dan sepat siam diperkenalkan

l1930-an : Ternakan udang laut diperkenalkan menggunakan trapping point'

l1940-an : Ternakan keran digiatkan

l1950-an : Ternakan ikan hiasan, tilapia, lampam jawa, kap india dan udang galah diperkenalkan.

l1960-an: Ternakan udang galah (Macrobrachium rosenbergii ) dimulakan selepas kejayaan membiakkannya dicapai.

l1978 : Ternakan rumpai laut (Euchema cottoni) diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Sabah.

l1979: Ternakan siput sudu diperkenalkan

l1980-an : Pembangunan projek komersial bermula dengan adanya spesies seperti udang laut, tilapia merah dan pengenalan teknologi pembenihan ikan, makanan ternakan dan pengurusan ladang akuakultur.

l1986 : Institut Penyelidikan Perikanan menjalankan kajian pemindahan benih kupang bagi meningkatkan pengeluaran.

l1986 : Pusat Penyelidikan Ternakan Air Payau, Gelang patah berjaya membaiki sistem asuhan benih ikan siakap dengan menggunakan sistem palung Raceway GP300 iaitu sistem air secara mengalir terus yang dapat mengawal suhu dan kualiti air yang lebih baik berbanding sistem tertutup.

l1986 : Institut Penyelidikan Perikanan berjaya menjalankan kajian untuk mereka bentuk sistem pembersihan kerang sebelum dipasarkan.

l1987 : Ternakan kupang menggunakan sistem para diperkenalkan bagi kawasan yang terdedah kepada ombak di mana tidak sesuai untuk sistem rakit.

l1988 : Jabatan perikanan bersama bantuan teknikal dari Program BOBP (Bay of Bengal Programme) berjaya menjalankan kajian ternakan tiram spesies Crassostrea iredalei, C. belcheri dan Ostrea folium.

l1989 : Ternakan rumpai laut (Euchema cottoni) mendapat sambutan menggalakkan daripada pengusaha di Semporna, Sabah.

l1991 : Bawal Emas (Trachinotus blochii) diperkenalkan.

l1990 : Pusat Pengeluaran Dan penyelidikan Benih Udang Kebangsaan, Pulau Sayak mula menjalankan kajian pembenihan ketam nipah.

l1990 : Pusat Pengeluaran Dan penyelidikan Ikan Laut, Tg. Demong berjaya membiakkan ikan jenahak (kejayaan pertama di Malaysia) dalam makmal dengan bantuan pakar perunding Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).

l1992 : Percubaan pertama di Malaysia ternakan ikan dalam sangkar di laut terbuka jenis Flexfloat di Teluk Dalam, Pulau Perhentian yang dikendalikan oleh Pusat Pengeluaran Dan Penyelidikan Ikan Laut, Besut, Terengganu. Ia diperbuat dari bahan high density polyethylene (HDPE), tahan angin dan ombak serta dapat mengoptimumkan penggunaan perairan laut.

l1992 : Jabatan memperkenalkan peralatan menggred kerang.

l1998 : Projek Ternakan Ikan Dalam Sangkar Di Laut Terbuka dimulakan di Langkawi, Kedah untuk tujuan meningkatkan pengeluaran ikan negara yang menggunakan teknologi Norway.

l2000 : Pusat Pengembangan Akuakultur, Jerantut, Pahang berjaya menjalankan kajian pembiakan kelah.

l2001 : Kejayaan pertama Institut Penyelidikan Perikanan dalam kajian pengeluaran benih abalone dalam makmal.

l2005 : Ternakan udang putih eksotik (Litopenaeus vannamei) dibenarkan sebagai alternatif kepada ternakan udang harimau yang menghadapi masalah penyakit.

l2006 : Pameran Antarabangsa Aquafair yang pertama di Malaysia untuk meneroka pasaran terus antarabangsa bagi ikan hiasan. Program berkenaan merintis jalan kepada kepada pengusaha untuk mengukuhkan pasaran eksport dan meletakkan Malaysia sebagai pembekal utama ikan hiasan dunia.

l2006 : Pusat Pengembangan Akuakultur, Jerantut dan Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar, Jelebu berjaya menghasilkan benih ikan kelah.


Ewan_sn
Filet tilapia ke pasaran AS
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI




ROHANI Abd. Karim (empat dari kiri) memberi makanan kepada ikan tilapia hitam dalam satu sangkar Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakulter di Tasik Temengor, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



GERIK 23 Jun - Produk filet (isi ikan) tilapia keluaran Trapia Malaysia Sdn. Bhd. (Trapia Malaysia) akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) mulai Ogos ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abd. Karim berkata, ia merupakan kejayaan hasil misi perdagangan disertai syarikat berkenaan di Pameran Makanan Laut Boston, AS pada Mac lalu.

"Kejayaan memasuki pasaran AS yang merupakan pengimport filet tilapia terbesar dunia berikutan misi perdagangan yang disertai Trapia Malaysia dan Jabatan Perikanan dalam pameran di Boston Mac lalu.

"Nilai dagangan yang termeterai dianggarkan RM30 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek tersebut di Tasik Temenggor dekat sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub dan Pegawai Daerah Hulu Perak, Datuk Abdul Karim Osman.

Menurut Rohani, buat masa ini projek itu mampu mengeluarkan kira-kira 5,000 tan metrik filet tilapia setahun dan dijangka meningkat sehingga 40,000 tan metrik pada 2013.

Sementara itu, Pengarah Trapia Malaysia, Lai Sead Ping berkata, projek penternakan ikan tilapia hitam memberi impak besar dan mampu menjana pendapatan ratusan juta ringgit setahun.

"Sebagai tanggungjawab sosial korporat, kami mahu manfaatnya turut dinikmati penduduk tempatan khususnya dari sekitar daerah Hulu Perak," katanya sambil mengakui hanya mengambil penduduk tempatan sebagai pekerja.

Dalam masa sama, menurut Sead Ping, pihaknya berhasrat membantu anak-anak tempatan yang berminat, menceburi bidang ternakan ikan tilapia.

Buat permulaan, katanya, Trapia Malaysia akan melatih 20 perintis di kalangan siswazah dan usahawan tempatan melalui skim pertanian kontrak.

Jelas beliau, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri Perak dan Kolej Komuniti Gerik.

"Kami akan memberi latihan insentif selama enam bulan kepada pelatih terbabit tentang teknik dan prosedur penternakan ikan tilapia hitam.

"Saya difahamkan borang permohonan untuk memohon skim berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

This is a "lo-fi" version of our main content. To view the full version with more information, formatting and images, please click here.
Invision Power Board © 2001-2014 Invision Power Services, Inc.